Aidil tuntut Kedah bangkit jumpa PJ City

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) perlu bangkit pada perlawanan menentang PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam esok jika tidak mahu terus ketinggalan dalam saingan Liga Super musim ini.

Dua kekalahan berturut-turut kepada Sabah FC dan Melaka United FC memberi kesan buat Sang Kenari yang memberi saingan cukup sengit dalam tiga perlawanan awal Liga Super.



Pengendali KDA FC Aidil Sharin Sahak berkata, walaupun kekalahan berkenaan memberi kesan psikologi kepada pemain-pemainnya, semangat mereka tetap membara untuk mencetus kebangkitan.

“Pemain tidak menunjukkan sikap putus asa, malah mereka tetap memiliki semangat yang tinggi bagi meneruskan perjuangan untuk bangkit memburu kemenangan pada perlawanan bertemu PJ City kali ini.





“Kekalahan boleh berlaku tanpa diduga, namun sikap positif yang ada pada pemain perlu dikekalkan bagi memastikan semangat juang serta keyakinan mereka berada pada tahap terbaik dalam usaha kembali mendapatkan momentum kemenangan.

“Pihak pengurusan KDA FC juga hadir di padang latihan dan menyuntik semangat kepada pasukan bagi memastikan mereka berada pada tahap yang baik dan bersedia menghadapi perlawanan seterusnya.





“Saya harap mereka lupakan kekecewaan lalu, kuatkan semangat serta berikan fokus terbaik mereka untuk bangkit mendapatkan tiga mata pada perlawanan menentang PJ City ini,” kata Aidil.

KDA FC kini mengumpul 12 mata dan menduduki tangga keempat Liga Super.