Ronaldo ketawakan rakan sendiri

London: Penyokong Manchester United melihat Cristiano Ronaldo ketawa dan menggelengkan kepalanya kerana tidak percaya kelab itu mempamer prestasi memalukan di Brighton, awal pagi tadi.

United dibelasah 0-4 di Stadium Amex menerusi gol sumbangan Moises Caicedo, Marc Cucurella, Pascal Gross dan Leandro Trossard.



Ronaldo jelas kecewa sepanjang perlawanan itu dan ia bertambah teruk apabila penyokong melihatnya ketawa seolah menyindir rakan sepasukannya, yang sudah pun mengharungi musim mengecewakan pada tahun ini.

Seorang peminat menerusi Twitter menulis: “Jangan salahkan Ronaldo kerana ketawa, saya juga ketawa. Mereka tidak layak untuk memakai baju itu.”





Seorang lagi menulis: “(Scott) McTominay dan (Victor) Lindelof seperti sedang berjoging.

“Apabila Ronaldo mentertawakan mereka, ia sangat teruk. Amat memalukan bagi sebuah kelab.”





Seorang lagi peminat menulis: “Saya tidak menyalahkan Ronaldo kerana ketawa. Sekurang-kurangnya situasi di Man United memang melucukan ketika ini. Sekumpulan lelaki malas menerima gaji berlebihan ada di kelab itu.”

Manakala seorang peminat Ronaldo menulis: “Apabila Ronaldo mentertawakan rakan sepasukannya, ia menjelaskan kepada anda segala-galanya.”