Vietnam atau Indonesia lawan Harimau Muda di separuh akhir

HANOI: Vietnam atau Indonesia yang akan menjadi lawan Malaysia di separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA Hanoi selepas kedua-dua pasukan itu muncul juara dan naib juara Kumpulan A.

Vietnam mara selaku juara kumpulan selepas menewaskan Timor Leste 2-0 manakala Indonesia pula mengatasi Myanmar 3-1 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung, hari ini.





Pilihan kini di tangan Malaysia yang mana jika mahu mengelak berdepan Vietnam, anak buah Brad Maloney wajib mengalahkan Kemboja dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, esok.

Hanya kemenangan yang membolehkan skuad ‘Harimau Muda’ mara selaku juara kumpulan dan menempah pertemuan dengan musuh tradisi, Indonesia.




Malaysia mengesahkan slot ke separuh akhir selepas terikat seri 2-2 dengan Singapura selain turut dibantu dengan kemenangan 5-0 Thailand ke atas Kemboja dalam perlawanan, semalam.

Anak buah Maloney mendahului kumpulan dengan mengumpul tujuh mata, manakala Thailand yang menduduki tangga kedua hanya ketinggalan satu mata.