TMJ cabar Sanusi dedah individu digelarnya `tokong’

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan nama individu yang beliau gelar sebagai ‘tokong’ dalam bola sepak Malaysia.

Menerusi satu ciapan pada akaun Twitter miliknya, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut meminta Menteri Besar Kedah itu menyatakan semua dakwaan yang dimaksudkan dengan menyertakan bukti dan fakta.



“Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segala-galanya. Ini cakap main sembur, badut Mc Donald pun boleh. Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam terus buat cerita sensasi nak naikkan rating. Typical Politician,” tulis TMJ.

Muhammad Sanusi sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mendakwa ada individu yang mengawal bola sepak Malaysia, namun tidak mendedahkan nama individu berkenaan.





Malah, ada yang mendakwa isu berkenaan turut menjadi punca JDT memanggil semula penyerangnya, Syafiq Ahmad yang dipinjamkan kepada pasukan Kedah Darul Aman FC untuk kembali ke pangkuan skuad Harimau Selatan.

Dalam perkembangan lain, TMJ dalam kenyataan yang disiarkan menerusi akaun Facebook rasmi kelab JDT iaitu JOHOR Southern Tigers, semalam menjelaskan beliau sudah menyatakan masalah yang dihadapi bola sepak tanah air sejak 2013.





Katanya, apa yang diperkatakan itu memang berlaku dan kejayaan yang dicapai skuad Harimau Selatan ketika ini menjadi ikutan pasukan lain.

“Dari 2013 semua benda saya katakan berkenaan dengan pencapaian JDT dan masalah bola sepak tanah air, pemain-pemain, kemudahan dan pembangunan bola sepak semua dipertikaikan oleh orang-orang yang tiada pencapaian dalam industri bola sepak. Tetapi pada hari ini, semua yang saya cakap berlaku dan diikuti,” katanya.