Sanusi enggan komen, khuatir dilabel derhaka

Kulim: Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor enggan mengulas mengenai cabaran pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim agar mendedahkan nama individu yang beliau gelar sebagai ‘tokong’ dalam bola sepak negara.

Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang komen lanjut mengenai cabaran Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu kerana khuatir akan dilabel sebagai ‘derhaka.’





“Soalan itu (cabaran TMJ dedahkan nama individu yang digelar ‘tokong’) tak usah tanya, provokasi..’no comment’. Nanti depa kata saya lawan raja pula, baru ini tak ada hujah depa update (tulis) kata lawan raja, derhaka…ini bola sepak derhaka apa, jadi (cukup) la,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Mesyuarat Agung Tahunan Pusat Pembangunan Kemahiran Industri dan Pengurusan Kedah (KISMEC) di sini, hari ini.

Menerusi satu ciapan pada akaun Twitter milik TMJ, beliau meminta Sanusi menyatakan semua dakwaan yang dimaksudkan termasuk menyertakan bukti dan fakta.





Sebelum ini, Muhammad Sanusi mencetuskan kontroversi apabila mendakwa ada individu yang mengawal bola sepak Malaysia, namun tidak mendedahkan nama individu berkenaan.

Beliau berkata, ‘tokong’ dalam arena bola sepak negara tidak boleh wujud sekiranya semua pasukan mahu berentap secara adil. Malah, ada yang mendakwa isu berkenaan turut menjadi punca JDT memanggil semula penyerangnya, Syafiq Ahmad yang dipinjamkan kepada Kedah Darul Aman FC untuk kembali ke pangkuan skuad Harimau Selatan.