Kedah sasar pemain Timur Tengah

ALOR SETAR: Seorang pemain dari Timur Tengah kini menjadi sasaran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi memperkuatkan skuad Kenari selepas jendela perpindahan kedua dibuka semalam.

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, pihaknya sedang dalam rundingan memilih pemain posisi tengah itu bagi menggantikan Jang Suk Won yang ditamatkan kontrak dengan persetujuan bersama.



“Ada beberapa calon yang sedang kita sasarkan dan antaranya seorang pemain dari Timur Tengah yang kini berada dalam proses rundingan.

“Namun itu bergantung kepada beberapa terma dan syarat yang perlu diterima dan dipersetujui bagi kepentingan kedua-dua belah pihak sebelum dapat dimuktamadkan.





“Kami sedang bekerja keras bagi memastikan kemasukan pemain baharu pada tempoh jendela perpindahan kali ini dapat memberi kesan terbaik buat pasukan yang akan menempuhi sambungan Liga Malaysia dan Piala AFC bulan depan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain kuota Asean dari Thailand turut dikaitkan dengan KDA FC susulan kecederaan kaki Dennis Buschening yang memaksanya berehat panjang.

“Sebaik jendela perpindahan dibuka, kami sedang menilai pemain kuota Asean yang bersesuaian dan sekiranya Dennis Buschening tidak dapat kembali beraksi dalam tempoh terdekat ini, ia pasti akan memberi kesan kepada pasukan.





“Pemain import Thailand itu antara beberapa nama lain yang sedang kami teliti. Sekiranya berjalan lancar, kami akan umumkan nanti dan saya berharap peminat bersabar.

“Saya yakin dengan kerjasama baik antara pengurusan KDA FC dengan kelab luar, kita mampu melepasi sebarang rintangan dalam mencari pemain baharu yang disasarkan,” katanya.