Menentang Liverpool lebih mudah – Ancelotti

PARIS – Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mendakwa bahawa Liverpool adalah pasukan yang lebih mudah untuk ditentang berbanding pasukan lain selepas berjaya merangkul trofi Liga Juara-Juara dengan meraih kemenangan 1-0 awal pagi semalam.



Pada aksi final yang berlangsung di Stade de France itu, Ancelotti berjaya memacu The Galacticos untuk mengulangi kejayaan yang pernah dicapai mereka pada 2018 apabila menafikan misi lunas dendam The Reds.

Musim ini menyaksikan Real terpaksa berdepan lawan yang cukup hebat sepanjang perjalanan mereka ke pentas final apabila berjaya menundukkan Paris Saint-Germain, Chelsea dan Manchester City.




Ancelotti mengakui bahawa Liverpool adalah lawan yang memiliki identiti yang sama setiap kali turun beraksi menerusi formasi 4-3-3, bertahan pada garis paling tinggi dan menggunakan pendekatan menyerang secara agresif menyebabkan beliau mudah untuk merencanakan strategi terbaik untuk mengekangnya.

“Saya fikir menentang Liverpool lebih mudah untuk kami merencanakan strategi kerana mereka mempunyai identiti yang jelas, jadi kami hanya perlu bersedia untuk mengekang cara mereka bermain.

“Kami tahu cara untuk bermain dan tidak memberikan mereka ruang untuk melakukan larian dan gerakan di bahagian belakang pertahanan kami.





“Mungkin cara kami bermain tidak begitu menarik, tetapi memulakan aksi dari bawah untuk menghalang tekanan bukanlah idea yang baik.

“Kami terpaksa menggunakan strategi hantaran jauh pada awal permainan untuk menenangkan situasi, tetapi kami juga bersedia di bahagian tengah untuk menghalang serangan balas pantas mereka terutama pada babak kedua,” jelasnya.

Pada aksi tersebut, Vinicius Junior muncul wira Real apabila meledak gol tunggal perlawanan selain kecekapan penjaga gol mereka, Thibaut Courtois yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan membantu kejayaan juara La Liga itu. – AGENSI