Cuba menang dengan gaya permainan Malaysia

Petaling Jaya: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu anak buahnya melakar kemenangan ke atas Hong Kong dengan permainan bola sepak sebenar pada persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Katanya, kemenangan yang beliau mahukan perlulah menerusi corak permainan positif dan bukannya negatif dengan menunggu kesilapan pihak lawan.



Jelas jurulatih dari Korea Selatan itu, empat elemen iaitu proaktif, dominasi, dinamik dan keghairahan adalah gaya permainan baharu Malaysia yang ingin beliau lihat apabila menentang Hong Kong yang juga bekas pasukannya, sebelum ini.

“Kita nak kekalkan falsafah permainan dan karektor, itu lebih penting. Saya nyatakan di sini, kita sedang usaha gaya permainan Malaysia yang merangkumi agresif, dominasi dan keghairahan.

“Ada dua cara untuk menang dalam bola sepak iaitu kemenangan secara proaktif, dominasi , dinamik dan menyerang untuk menang.





“Atau satu lagi, kita bertindak pasif, negatif dan menunggu kesilapan pihak lawan, tetapi masih lagi boleh menang. Jadi kita pilih untuk menang dengan cara proaktif.

“Inilah yang kita mahu berikan kepada penyokong dan kita mahu bermain permaianan bola sepak jenis itu,” katanya pada sidang media pra-perlawanan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.





Aksi bertemu Hong Kong adalah persiapan skuad negara sebelum mengharungi Kelayakan Piala Asia 2023 apabila Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh.

Semua aksi kelayakan itu akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula dari 8 hingga 14 Jun ini, dengan juara kumpulan dan lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan akan menggenggam tiket ke pusingan akhir tahun depan.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia adalah pada 1980, manakala pada 2007 skuad negara beraksi di pentas tertinggi itu atas slot selaku tuan rumah bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia.