Kami akan berusaha mara sejauh mungkin – Brad Maloney

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney berkata pasukannya akan berusaha mara sejauh mungkin dalam saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan, walaupun tiada sasaran besar diletakkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, keputusan terbaharu FAM itu kini meletakkan pemainnya tidak berdepan tekanan tinggi selain sedar bahawa mereka bakal berdepan saingan sukar termasuk di peringkat Kumpulan C.



Malah, pengendali dari Australia itu turut menuntut barisan pemain skuad Harimau Muda supaya tidak gerun dengan pemain lawan terutama apabila akan membuka saingan kumpulan berdepan juara bertahan, Korea Selatan, Khamis ini.

“Kami mahu pergi sejauh mungkin dengan memberi persembahan terbaik. Kami faham ia akan menjadi kejohanan yang sukar di peringkat kumpulan dengan lawan yang sukar termasuk Korea Selatan, Vietnam dan Thailand.




“Tapi kami akan cuba yang terbaik dan saya yakin pemain berada dalam keadaan baik. Kami sangat menghormati pasukan Korea Selatan, mereka adalah juara bertahan kejohanan ini dan memiliki ramai pemain berkualiti.

“Jadi ia akan menjadi cabaran besar buat kami, namun jangan takut kepada mana-mana pemain dan hanya bermain seperti permainan biasa,” katanya.

Selepas Korea Selatan, anak buah Maloney akan meneruskan aksi kumpulan menentang pasukan jiran, Thailand (5 Jun) dan aksi terakhir bertemu pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Vietnam (8 Jun).





Selain itu, Maloney turut menjelaskan pemainnya tidak berdepan masalah besar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan masa dan cuaca di Uzbekistan.

“Sebenarnya cuaca di sini baik untuk bola sepak, sedikit sejuk dan saya rasa pemain dalam keadaan baik serta boleh menyesuaikan diri dengan situasi,” katanya.