Ini bukan pasukan yang saya sangkakan – Ketua Jurulatih Hong Kong

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Pasukan Bolasepak Hong Kong, John Andersen mengakui pasukan negara telah banyak berubah.

Menurutnya, skuad Harimau Malaysia yang dihadapinya malam tadi bukan pasukan yang beliau sangka boleh dijinakkan ketika beliau mengendalikan pasukan Korea Utara.

“Pertama sekali saya terkejut dengan aksi Malaysia malam ini, sebelum ini ketika saya mengendalikan skuad Korea Utara, pernah menewaskan Harimau Malaya dengan mudah 4-1 dalam dua pertemuan antarabangsa.




“Tetapi hari ini, saya tewas kepada mereka. Ini bukan pasukan yang saya sangkakan mudah boleh dijinak seperti dahulu,mereka sudah banyak berubah khususnya beraksi dengan mempamerkan permainan bertahap tinggi dan penuh berintensiti serta secara taktikal juga menunjukkan banyak peningkatan.

“Sejak awal sehingga akhir perlawanan itu mereka menyerang habis-habisan dan tidak membuka ruang untuk kami memegang bola lama,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Pada perlawanan itu Malaysia menewaskan Hong Kong menerusi jaringan Muhammad Safawi Rasid dan Safiq Rahim.

Ditanya mengenai prestasi pasukan kendaliannya, Andersen berkata, pemainnya tidak memberi fokus sepenuhnya pada perlawanan itu.




Katanya, dia dapat melihat daripada awal permainan pemainnya mengambil masa yang lama untuk menyusun strategi dan melakukan serangan.

“Benar, kami tak fokus dalam aksi malam ini, tak boleh mempamerkan aksi secara taktikal dan kami juga menghadapi masalah dengan padang ini.





“Kalau ikutkan pasukan Malaysia, ini halaman mereka dan sudah biasa bermain di padang ini, untuk kami kali pertama beraksi di sini, memang memberi masalah kepada kami untuk bermain dengan selesa.

“Malahan beberapa keputusan oleh pengadil juga agak mengecewakan pasukan kami, yang mana saya tak setuju sangat. Ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Bagaimanapun jelas Andersen, beliau dan anak buahnya menerima secara positif hasil parlawanan malam tadi dan berpuas hati dengan tahap permainan yang dipamerkan. – MalaysiaGazette