Kim Pan Gon akui sukar pilih 23 pemain

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengakui bakal berdepan tugas sukar untuk memilih senarai akhir 23 pemain yang akan menggalas tugas di kelayakan Piala Asia 2023, bermula minggu depan.

Ia selepas 29 pemain yang berada dalam skuad ketika ini menunjukkan komitmen dan persembahan yang baik untuk membantu pasukan mencipta keputusan positif.



Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan aksi yang penuh berdisiplin dan konsisten daripada pemain membolehkan skuad Harimau Malaya berjaya menewaskan Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

“Pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi, bertenaga dan dan harap penyokong menikmati perlawanan itu. Bukan 100 peratus, tapi kami selangkah demi selangkah untuk bergerak ke depan.

“Ia (pilih skuad akhir) akan menjadi sangat sukar, semua pemain bagi saya sangat penting. Setiap orang atau setiap situasi, mereka boleh bagi kita persembahan sama, ia sasaran utama saya.





“Sekarang kami hanya mahu bergerak ke depan untuk bersama dengan falsafah dan kami cuba membantu mereka bergerak ke depan.

“Saya menghargai semua pemain, mereka memberikan komitmen yang baik. Bagi saya, ia saat yang menakjubkan bekerja dengan mereka. Tapi, saya perlu putuskan skuad 23 pemain,” katanya.

Kemenangan ke atas Hong Kong adalah keputusan positif kedua dicatat skuad Harimau Malaya selepas menundukkan Brunei 4-0, Jumaat lalu dan ia menjadi ujian terakhir skuad negara sebelum aksi pertama kelayakan berdepan Turkmenistan, 8 Jun ini.





Selepas itu, skuad Harimau Malaya akan meneruskan aksi kelayakan dalam Kumpulan E menentang Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh (14 Jun), dengan semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional.

Sementara itu, ketua jurulatih Hong Kong, Jorn Andersen mengakui pasukannya tidak beraksi dengan baik selain terkejut dengan kualiti dipamerkan skuad Harimau Malaya yang dianggap memiliki beberapa pemain terbaik.

“Mereka (Harimau Malaya) mempamerkan permainan pantas yang mana kami berdepan kesukaran pada awalnya dan terpaksa mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Kami juga kurang fokus dengan perlawanan dan taktikal,” katanya.