Lupakan episod hitam, Fokus jumpa Thailand

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara perlu melupakan episod hitam tewas 1-4 di tangan Korea Selatan pada aksi sulung Kumpulan C, saingan Piala Asia B-23, kelmarin.

Ia disuarakan kapten ‘Harimau Muda’, Mukhairi Ajmal Mahadi yang menyifatkan perkara paling penting ketika ini adalah untuk fokus kepada aksi kedua menentang Thailand di Stadium Bunyodkor, Tashkent, Uzbekistan, malam ini.



Pemain Selangor berusia 20 tahun itu berkata, keputusan perlawanan dengan Thailand akan mempengaruhi moral pemain serta perjalanan skuad negara dalam kejohanan itu.

“Saya harap pemain lupakan perlawanan (menentang Korea Selatan) sebelum ini. Kembali fokus perlawanan menentang Thailand dan saya harap kita bangkit daripada kekalahan dengan Korea Selatan.





“Ini peluang terbaik juga untuk kita dan saya harap kita dapat meraih kemenangan untuk memberikan moral lebih tinggi kepada pasukan,” katanya.

Kejayaan Korea Selatan yang juga juara bertahan menundukkan Malaysia di Stadium Lokomotiv menyaksikan skuad kendalian Hwang Sun Hong itu berada di tangga teratas kumpulan dengan mengumpul tiga mata.




Anak buah Maloney pula berada di kedudukan tercorot dengan tangga kedua dan ketiga dihuni Thailand dan Vietnam yang terikat 2-2 dalam satu lagi aksi pertama kumpulan, kelmarin.

Selepas menentang Thailand, skuad negara akan mengharungi aksi terakhir kumpulan bertemu pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Rabu.