Padang SNBJ dalam keadaan terbaik

Kuala Lumpur: Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada dalam keadaan terbaik sekali gus mampu bertahan untuk kempen Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai Rabu ini.

Walaupun dilihat kurang memuaskan ketika aksi persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong baru-baru ini namun Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sentiasa melakukan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan permukaan padang tidak rosak.


Malah, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi berkata, pemeriksaan terbabit turut dilakukan bersama pegawai teknikal daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (PSM) dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk memastikan ‘Rumah Harimau Malaya’ tidak mendatangkan masalah kepada pemain negara nanti.

“Kita sentiasa melakukan pemeriksaan malah memastikan keadaan padang mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).





“Walaupun ada yang mengatakan padang berkenaan teruk namun pasukan yang akan bertanding di venue berkenaan sudah menjalani latihan di stadium terbabit dan berpuas hati,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, permukaan padang stadium terbabit yang dilihat agak teruk pada perlawanan persahabatan Harimau Malaya menentang Brunei dan Hong Kong baru-baru ini menimbulkan reaksi pelbagai pihak termasuk penyokong bola sepak negara terhadap ketahanannya apabila digunakan pada kempen Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023.

Mengikut rekod, sekurang-kurangnya enam perlawanan akan berlangsung di SNBJ dalam tempoh seminggu bermula Rabu ini sehingga 14 Jun.




Sementara itu, ketika ditanya berkaitan permukaan padang termasuk ketinggian rumput mengikut kehendak pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon, Faidz berkata, sememangnya pihaknya ada mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan bagi memastikan tahap kesesuaiannya memberi kelebihan kepada pemain negara.

“Ini adalah gelanggang keramat buat Harimau Malaya, sudah tentu kita mahu memastikan pasukan negara boleh beraksi dengan baik dan sebati dengan pemain seperti yang dilakukan oleh kebanyakan pasukan gergasi lain,” katanya.