Harimau Malaya sasar 7 mata layak ke Piala Asia

Kuala Lumpur: Untuk layak ke Piala Asia tahun depan, pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon meletakkan sasaran tujuh mata wajib digenggam dengan aksi pertama menentang Turkmenistan adalah aksi penting bagi memburu tiga mata pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Jelas Pan-gon, kemenangan ke atas lawan yang menduduki ranking ke-134 dunia itu adalah misi hidup mati skuad negara meskipun masih mempunyai dua lagi baki aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia itu dengan menentang Bahrain dan Bangladesh selepas ini.

Katanya, kejayaan memungut tiga mata maksimum itu nanti pastinya menyuntik motivasi pemain untuk aksi berikutnya nanti.



“Kalau kita nak layak saya fikir tujuh mata boleh menyelamatkan kita untuk layak. Sudah tentu perlawanan dengan Turkmenistan ini adalah untuk meraih tiga mata.

“Kita akan mengambil pendekatan dari satu aksi ke satu aksi dan mungkin perlawanan kedua nanti kita juga boleh dapat tiga mata atau sebaliknya, tapi kalau kita nak ke pusingan akhir Piala Asia kita kena dapatkan tujuh mata dan cuba capai sasaran itu,” katanya pada sidang media pra-perlawanan di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pasukan sebenarnya tidak pernah bertemu di peringkat antarabangsa dengan Malaysia hanya kerap menentang negara jiran tetangga Turkmenistan seperti Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Tajikistan sahaja.

Namun mengikut keputusan-keputusan skuad kebangsaan dengan negara-negara Asia Tengah itu, hanya Uzbekistan dilihat cukup ampuh berbanding Kyrgyzstan dan Tajikistan yang sudah berapa kali pasukan negara tewaskan.





Ujar Pan-go lagi, anak didiknya akan turun dengan taktikal menyerang dan tidak akan memberi ruang buat pihak lawan bergerak bebas.

Malah, barisan kejurulatihan negara juga sudah menganalisa kelemahan dan kekuatan pihak lawan dan beliau percaya keputusan positif mampu dilakar di depan ribuan penyokong setia skuad Harimau Malaya nanti.

“Seperti kebiasaan, kami pilih untuk menang dan untuk mendominasi perlawanan. Kami mahu menguasai aksi untuk menang dan tidak ada perbezaan sesiapa lawan yang kita temui.

“Kita akan gunakan kaedah sama untuk menang dan sudah tentu ia berdasarkan taktikal pihak lawan. Kita dah analisa dan saya cukup yakin perlawanan akan berlangsung rancak,” katanya.

Kim Pan-gon berharap agar mereka dapat bermain dalam keadaan padang yang baik apabila menentang Turkmenistan pada perlawanan pembukaan saingan Kelayakan Piala Asia 2023 esok.




Dalam pada itu, pengendali Harimau Malaya itu teruja untuk memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 selain berkata pemain-pemainnya juga sudah bersedia untuk memberikan aksi yang terbaik untuk negara.

“Kami akan pilih untuk mengawal dan mendominasi permainan untuk menang. Kami memang akan bermain dengan taktikal yang berbeza tetapi corak permainan kami akan sama iaitu cuba mengawal dan mendominasi untuk mengutip tiga mata.”

Pada masa sama Pan-gon menegaskan bahawa beliau akan mengekalkan taktikal permainan berintensiti tinggi cuba untuk mendominasi serta mengawal perlawanan untuk cuba meraih tiga mata pertama.