Pan Gon bangga dengan penyokong, Harimau Malaya

KETUA Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon memuji peminat bola sepak Malaysia dan Ultras Malaya atas sokongan sehingga Malaysia berjaya membenam Turkmenistan 3-1 pada perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam Rabu.

Pan Gon berkata, skuad Harimau Malaya mendapat sokongan penuh para peminat semasa perlawanan sekali gus membantu mereka melakar kemenangan penting.



Kejayaan menewaskan Turkmenistan yang menduduki ranking ke-134 dunia turut menyaksikan Pan Gon bangga anak buahnya selepas bekerja keras untuk meraih tiga mata penting sepanjang 90 minit permainan.

“Malam ini (malam tadi) terima kasih banyak-banyak kepada peminat bola sepak Malaysia dan Ultras Malaya, mereka memberikan sokongan penuh kepada kami dan saya juga amat berbangga dengan semua pemain Harimau Malaya. Saya rasa mereka berusaha memberikan peminat sedikit kebanggaan dan kegembiraan.

“Saya rasa ini adalah antara malam terbaik untuk kita dan kita telah melakukan tugas dengan baik dan saya dapat melihat semua orang gembira, saya juga sangat gembira malam ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional, pada Rabu.




Lebih 21,000 penonton termasuk penyokong tegar Harimau Malaya, Ultras Malaya membanjiri Stadium Nasional untuk memberikan sokongan mereka kepada pasukan negara yang kali terakhir beraksi dalam perlawanan kompetitif di tempat sendiri pada November 2019 sebelum wabak Covid-19 melanda.

Sementara itu Pan-gon berkata pemain-pemainnya berjaya mengikut segala taktikal dan arahan yang dirancang iaitu mendominasi perlawanan.

“Ia malam yang cukup terbaik buat kami. Saya sangat gembira dengan kesemua pemain yang memberikan aksi persembahan yang cukup mantap.

Pemain berjaya menterjemahkan taktikal yang diterapkan ketika latihan iaitu untuk mendominasi dan mengawal perlawanan sekaligus kita berjaya memperoleh dua gol awal. Apa yang saya boleh katakan malam ini kita bermain seperti Harimau yang sebenar,”

“Saya tidak mahu komen mengenai permainan individu kerana saya lebih fokus kepada permainan berpasukan.” ujar Pan Gon.





Pan-gon juga berkata mereka akan tetap mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi apabila menentang Bahrain nanti walaupun tahu pasukan dari Timur Tengah itu berada di ranking jauh lebih baik dari pasukan negara.

Pada aksi malam Rabu, Malaysia yang berada di ranking ke-154 dunia mendahului 2-0 menerusi jaringan Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-11 dan Mohamad Faisal Abdul Halim (minit ke-16), sebelum Altymyrat Annadurdyyev merapatkan jurang untuk Turkmenistan pada minit ke-38.

Bagaimanapun, Corbin Ong melebarkan penguasaan dengan gol ketiga dalam tempoh masa kecederaan sebelum rehat untuk memberikan permulaan sempurna buat Malaysia dalam kempen kelayakan mereka apabila mengungguli Kumpulan E, berkongsi tiga mata dengan Bahrain di tempat kedua.