Harimau Malaya boleh cipta kejutan berdepan Bahrain – Pan Gon

KETUA jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon berharap aksi cemerlang dan momentum positif melakar kemenangan ke atas Turkmenistan dapat diteruskan dalam pertembungan menentang pilihan utama, Bahrain pada Sabtu.

Menyedari Bahrain adalah pasukan yang lebih baik berdasarkan ranking dunia, Pan-gon berkata, pihaknya perlu lebih berhati-hati ketika bertemu skuad Dilmun’s Warriors pada perlawanan kedua kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Kim Pan-gon yang menjelaskan beliau sudah memiliki cara dan kaedah tersendiri untuk perlawanan itu nanti.

Katanya, Bahrain sememangnya antara pasukan terkuat Asia namun tidak bermakna anak buahnya sudah mengibar bendera putih sebelum turun ke medan ‘perang’.

“Kita hormati Bahrain, mereka pasukan yang terbaik di Asia dan mereka pernah layak ke pusingan akhir peringkat Asia dan muncul antara pasukan yang bersaing hebat.


Menurut jurulatih berusia 53 tahun dari Korea Selatan itu, beliau sentiasa berharap Harimau Malaya akan menguasai setiap perlawanan walaupun terpaksa mengubah pendekatan mengikut kekuatan lawan.

“Edisi sebelum ini pun mereka melalui kejohanan ini dengan baik dan kami hormati mereka. Tapi kami ada cara kami sendiri untuk mencari kemenangan, jadi kami akan bermain konsisten untuk memberi tentangan.

“Itu yang kami mahu (terus bermain dengan cemerlang) tetapi secara praktikalnya Bahrain menduduki tangga ke-89 dunia jadi kami mesti bijak mengawal permainan kerana kami perlukan mata dan sasaran kami layak (ke pusingan akhir).

“Kami akan berbincang (perlawanan menentang Bahrain) bersama pasukan, tetapi saya amat berharap suatu hari nanti saya mahu melihat Malaysia mendominasi setiap perlawanan dan lawan mereka. Kami mahu peminat berasa bangga,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menyaksikan pasukannya mengalahkan Turkmenistan 3-1 di Kuala Lumpur pada Rabu.





Pada masa ini, Pan-gon hanya memikirkan untuk mencapai sasaran tujuh mata bagi skuad negara dalam memastikan tempat ke Piala Asia 2023.

Biar pun berada di ranking ke-154 dunia, beliau optimis kekuatan yang dimiliki pasukannya dan semangat pemain untuk melaksanakan misi itu, malah cuba mencipta kejutan ke atas Bahrain yang diketuai Helio Sousa.

“Kami cuba untuk meraih satu atau tiga mata, siapa tahu kerana bola sepak boleh berikan kita kejutan sepanjang masa, tetapi apa yang pasti kami bukan pasukan yang mudah, pemain kami juga bakal berdepan saat sukar berdepan Bahrain,” katanya.

“Ia aksi yang sukar…jika kita gunakan kekuatan fizikal ke atas mereka sememangnya sukar. Tapi dengan tak adanya kecederaan (menimpa pemain negara selepas aksi pertama dengan Turkmenistan Rabu lalu) ia sedikit sebanyak menggembirakan pasukan.

“Kita akan sedia dari segi mental dan kita akan bersedia untuk mencari keputusan yang terbaik dalam aksi berikutnya,” kata Pan-gon yang berasal dari Korea Selatan itu.

Malaysia dan Bahrain memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan cemerlang selepas menewaskan lawan masing-masing, Turkmenistan 3-1 dan Bangladesh 2-0 di Kuala Lumpur pada Rabu, sekali gus berkongsi tiga mata di tangga teratas Kumpulan E.




Dalam pertembungan Malaysia-Turkmenistan, gol Harimau Malaya dijaringkan oleh Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-11, Mohamad Faisal Halim (minit ke-16) dan Corbin Ong pada masa kecederaan separuh masa pertama manakala Altymyrat Annadurdyyev menjaringkan gol tunggal Turkmenistan pada minit ke-38.

Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dengan penampilan terakhir Malaysia dalam kejohanan berprestij itu pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah lebih 40 tahun skuad negara gagal mara secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.