NFDP hanya program aktiviti bola sepak – Dr Zulakbal

KUALA LUMPUR: Perit untuk ditelan tetapi itulah realitinya apabila Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) disifatkan sekadar program untuk mengadakan aktiviti bola sepak tetapi tidak memasuki tahap untuk memajukan bola sepak.

Itu pandangan Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim ketika diminta mengulas mengenai ‘tempias’ yang dialami program elit bola sepak negara itu susulan kegagalan skuad belia negara dalam tiga pertandingan tahun ini.


Skuad Bawah 23 tahun tahun (B-23) yang rata-ratanya dibarisi produk NFDP gagal melakar prestasi memberangsangkan pada Kejuaraan AFF B-23 di Kemboja, Sukan SEA di Hanoi serta Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

“Kita buat program untuk adakan bola sepak semata-mata, tidak memajukan (bola sepak). Pemilihan pemain, silibus, kita ada pakar dari luar negara tetapi kita tidak nampak pemindahan pengetahuan itu berlaku. Jadi apa yang kita dapat selepas bayar mahal-mahal?

“Pemain ini adalah ‘end product’ daripada NFDP sendiri. Selepas kita melihat prestasi skuad B-23, kita tengok mereka tidak setanding dan bukan kata tahap Asia, tahap ASEAN pun kita belum mampu capai.

“Kita tengok di mana mereka berlatih. Ada di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan ada di Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah Sukan Negeri (SSN) atau Akademi Tunas (AT) tetapi semuanya di bawah NFDP.

“Antara perkara paling serius adalah pendedahan terhadap pertandingan kompetitif untuk liga di bawah NFDP yang menghasilkan pemain B-23. Mungkin ada yang katakan alasan COVID-19 tetapi Korea Selatan, Thailand dan Vietnam berdepan situasi sama.

“Dari mana pasukan ini dapat pemain yang berbakat sampai mereka berjaya ‘pukul’ pemain kita pada saingan AFC dan Sukan SEA? Saya fikir NFDP boleh melihat semula struktur pertandingan supaya cukup matang untuk berdaya saing di peringkat ASEAN dan Asia.

“Mungkin ada yang katakan NFDP berjaya melahirkan banyak pemain dan mereka menyertai pasukan di Liga Super ataupun Liga Perdana. Tetapi kalau (kerja) cukup bagus, kenapa kita kena hentak sampai 4-1 dengan Korea Selatan, 3-0 dengan Thailand?

“Jadi kita kena buat sesuatu segera mungkin supaya ada harapan untuk mengharungi mana-mana kejohanan selepas ini,” katanya.

Malah, Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melihat tiada istilah memberi pendedahan kepada pemain B-23 memandangkan mereka sudah berada pada usia matang dan profesional.

“Pendedahan adalah untuk peringkat bawah usia. Memang betul kita perlu beri pendedahan tetapi bagi skuad B-23, pendedahan itu bermaksud untuk menang dan bukan setakat penyertaan.

“Harus diingat program ini sudah menelan ratusan juta ringgit, jadi sudah tentulah kita mahu melihat pulangan yang berbaloi dan memberi impak kepada bola sepak kita.” katanya.

INFO

Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP)

– Diilhamkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Pengarah NFDP ialah bekas pemain negara, Lim Teong Kim yang juga bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich dan satu-satunya anak Malaysia yang layak melatih mana-mana kelab di Eropah selepas lulus lesen Jurulatih Pakar (Fussball-lehrer) di Cologne pada 2005

– Pemegang taruh dan pelaksana NFDP ialah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Majlis Sukan Negara, Persatuan Bolasepak Malaysia

– Dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 10 April 2014 di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan diletakkan status sebagai Projek Nasional





– Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 2018 dedahkan sebanyak RM80 juta sudah dibelanjakan untuk NFDP sejak 2014 tidak termasuk dengan perbelanjaan pembinaan AMD di Gambang, Pahang. Beliau turut dedahkan gaji Teong Kim adalah sebanyak RM175,000 dengan pengecualian cukai

– Sasaran utama NFDP ialah bantu pasukan Bawah 17 kebangsaan mara ke Piala Dunia Remaja FIFA pada 2019 tetapi gagal

– Wujudkan satu transformasi komprehensif terhadap program pembangunan bola sepak dengan penekanan diberikan kepada beberapa teras pembangunan

– Satu pelan jangka panjang dengan fasa pertama akan bermula dari 2014 hingga 2020

– Program berpandukan kepada falsafah atau DNA bola sepak negara yang dibentuk dengan mengambil kira cara terbaik yang perlu diamalkan dalam menggilap bakat pemain muda.

Visi NFDP

– Lahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten

Misi NFDP

– Wujudkan satu ekosistem pembangunan bola sepak yang sistematik dan menyeluruh ke arah tingkatkan kuantiti serta kualiti pemain negara

Teras Strategik NFDP

– Membentuk gaya, meningkatkan kualiti dan membina kendiri dengan DNA bola sepak negara

– Kenalpasti dan bentuk wira bola sepak negara

– Menyediakan kemudahan yang menepati piawaian kepada semua

– Meningkatkan pembangunan kejurulatihan

– Mengukuhkan struktur pertandingan di pelbagai peringkat

Fasa 1 (2014-2020)

Fasa awal PPBN beri tumpuan kepada perkara seperti:

– Memperkenalkan DNA bola sepak negara

– Memperhebat penyertaan dan pertandingan pemain bawah tujuh hingga 17 tahun

– Menstruktur semua pentadbiran dan pengurusan program pembangunan

– Mempertingkat penyelarasan antara pemegang taruh

– Memperkasa pembangunan kejurulatihan

– Menyediakan kemudahan asas yang mencukupi di semua peringkat

Fasa 2 (2021-2030)

Fasa lanjutan beri tumpuan kepada perkara seperti:

– Melaksanakan pengauditan dan penilaian program

– Melengkapkan ekosistem pembangunan bola sepak

– Memperkemas kemudahan pusat latihan yang ditambah pada Fasa 1





– Membentuk dan mendidik lebih ramai jurulatih di peringkat komuniti, sekolah rendah dan menengah

– Mengaktifkan lebih banyak usaha sama dengan pihak swasta dalam memperkasa pembangunan akademi di bawah NFDP

– Membuka peluang dan mempromosi pemain dan jurulatih dihasilkan di bawah NFDP ke pasaran profesional

– Mempertingkat kemampanan NFDP supaya boleh dijadikan model pembangunan serantau

Antara pencapaian NFDP:

– Juara Piala Piala Iber B-13 2015 (Portugal)

– Juara Kejohanan B-12 Piala SuperMokh 2015

– Juara Kejohanan B-14 Piala SuperMokh 2016

– Juara Kejohanan Whitsun B-14 2018 (Jerman)

– Juara Kejohanan Vogido B-14 2018 (Belanda)

– Juara Kejohanan Antarabangsa RKVVL/Polaris 2018 (Belanda)

– Juara Kejohanan B-14 Piala Supermokh 2019