Bahrain sedia buat Harimau Malaya ‘berputih mata’ – Sousa

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Bahrain, Helio Sousa mensasarkan tiga mata penuh pada aksi kedua Kumpulan E kempen Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Tanpa berselindung, Sousa memaklumkan tiada alasan untuk mereka tidak memperoleh kemenangan selepas membuat persedian rapi menentang tuan rumah.


“Tiada alasan untuk kami tidak menang esok(hari ini). Kami sudah membuat persiapan rapi untuk menentang Malaysia.

“Kami tidak boleh gunakan alasan untuk tidak beraksi dengan baik, sebaliknya pemain perlu sesuaikan diri dalam apa jua keadaan sama seperti pasukan lain,” katanya pada sidang media pra perlawanan, semalam.

Bahrain menjadi pasukan pilihan utama dari Kumpulan E untuk meraih tiket ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan berdasarkan reputasi besar dimiliki mereka dan menghuni ranking ke-89 dunia iaitu kedudukan paling tinggi berbanding pasukan lain dalam kumpulan itu.





Pengendali kelahiran Portugal itu juga tidak melihat kedudukan ranking yang lebih tinggi memberikan tekanan buat barisan pemainnya.

“Ranking lebih tinggi tidak beri kami tekanan langsung kerana apa yang penting adalah untuk kami memberikan aksi persembahan yang menarik dan akan cuba menang dalam setiap perlawanan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Sousa mengakui Harimau Malaya mempunyai kelebihan apabila bermain di laman sendiri dengan sorakan padu puluhan ribu penyokong yang bertindak sebagai pemain ke-12.




Dia bagaimanapun menganggap perkara itu sebagai motivasi untuk anak buahnya mempamerkan aksi lebih baik pada perlawanan itu.

“Malaysia pasukan yang kuat, mereka juga mengambil kelebihan beraksi di laman sendiri. Penyokong Malaysia melakukan kerja yang menakjubkan untuk menjadi satu lagi pemain buat Malaysia,” katanya.