Dua gol mudah musnahkan harapan Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Kesilapan individu seolah tidak boleh dipisahkan dengan skuad Harimau Malaya apabila tindakan kurang bijak penjaga gol negara, Farizal Marlias menyebabkan hasrat untuk memungut satu mata lebur apabila tewas 1-2 dengan Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Walaupun satu ketika mendahului lawan yang menduduki ranking ke-89 dunia itu, pasukan negara (ranking 154) nyata mudah hilang fokus di hujung aksi untuk membiarkan Bahrain memungut tiga mata.

Hujan lebat selama sejam sebelum perlawanan menyebabkan permukaan padang bertakung dan petugas stadium terpaksa mengambil masa agak lama untuk membuang air dengan menggunakan penyodok sampah dan kertas putih keras.


Dalam aksi itu, Kim Pan-gon nyata mahu memburu sekurang-kurangnya satu mata apabila membariskan lima tonggak pertahanan dalam kesebelasan utama berbanding ketika menang 3-1 ke atas Turkmenistan, Rabu lalu.

Khuzaimie Piee dan Junior Eldstal antara tonggak pertahanan yang mengisi senarai pasukan disamping Corbin Ong, Dion Cools dan Matthew Davies.

Malah, jurulatih dari Korea Selatan itu juga menyenaraikan Mohamadou Sumareh, Nazmi Faiz Mansor dan Akhyar Rashid dengan merehatkan Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Faisal Halim dan Nor Azam Azih.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila jentera serangan Bahrain gagal menembusi benteng negara disamping kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan permukaan padang yang basah dan licin.





Eldstal mensia-siakan hampir dua peluang keemasan apabila percubaannya pada minit keempat dan minit ke-14 gagal menemui sasaran.

Akhyar turut berpeluang mencetak nama selaku penjaring di minit 31 namun rembatannya berjaya di baca Sayed Mohamed Abbas biarpun hanya berdepan penjaga gol itu.

Memasuki babak kedua, aksi bertambah rancak dengan kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti bagi memburu jaringan.

Sumareh akhirnya menggamatkan Bukit Jalil yang dilimpahi hampir 63,925 penyokong menerusi gol pembukaan pada minit ke-55 selepas menerima hantaran Khuzaimie untuk dia mudah menolak masuk menewaskan Abbas.





Begitupun, gol Malaysia itu hanya bertahan dua minit apabila Ali Abdula Haram menyamakan kedudukan hasil keadaan kelam kabut di depan gawang negara.

Susulan itu, Pan-gon membuat empat pertukaran memasukkan Guilherme de Paula, Safiq Rahim, Syafiq Ahmad dan Arif untuk menambah sengat di bahagian depan.

Bagaimanapun, seperti biasa kesilapan individu yang sering menghantui pasukan negara sekali lagi mengundang padah apabila tindakan Farizal melakukan terjahan ke atas pemain Bahrain ketika situasi terbabit tidak berbahaya merugikan pasukan.

Pemain gantian, Abdulla Yusuf Helal memanfaatkan sepakan penalti itu untuk meletakkan pelawat di depan pada minit ke-80 sekali gus kekal hingga wisel penamat.

Dengan kekalahan itu, Bahrain kini memimpin kumpulan dengan enam mata manakala Malaysia jatuh ke tangga kedua sekaligus wajib menewaskan Bangladesh dalam aksi ketiga Selasa ini.