Mesut Ozil bakal uji barisan pertahanan KDA FC?

Beberapa hari ini, rancak desas-desus mengenai kelab Liga 1 Indonesia, Bali United berminat untuk membawa masuk pemain Fenerbahce, Mesut Ozil.

Bintang Jerman sendiri mengakui bahawa beliau berminat untuk mewakili Bali United sekiranya membuat keputusan untuk berhijrah liga negara itu.

Awal tahun ini juga, terdapat khabar angin yang menyatakan bahawa pemenang Piala Dunia 2014 akan menyertai RANS Nusantara milik selebriti terkemuka Indonesia, Raffi Ahmad.



Desas desus itu juga sentiasa muncul kerana beliau dilihat kerap berada di Indonesia sejak awal tahun ini.

Jika perpindahan itu menjadi realiti, ini bermakna pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan bertemu bekas perancang Real Madrid dan Arsenal itu di kejohanan Piala AFC yang akan bermula 24 Jun ini.

Naib juara Liga Super musim lalu itu diundi dalam kumpulan G bersama Bali United, Kaya FC dan Visakha FC.





Sudah tentu anak buah Aidil Shahrin harus lebih berhati-hati kerana Ozil diketahui memiliki visi dan hantaran yang bekualiti tinggi walaupun sudah berusia 33 tahun.

Tambahan pula, KDA FC juga kini sedang mengalami masalah di benteng pertahanan dan sudah melepaskan 17 gol dalam Liga Super setakat ini, paling banyak antara semua pasukan.

Pada 24 Mac lalu, Fenerbahce mengumumkan bahawa pemain itu diketepikan daripada skuad bersama seorang lagi rakan sepasukannya, Ozan Tufan.





Presiden kelab itu, Ali Koc sebelum ini mendedahkan bahawa Ozil tidak gembira berada di Turki kerana kurang minit permainan.

Jadi mungkin kini Ozil sedang mencari kelab baru dan melihat kepada sambutan yang diterimanya di Indonesia, tidak mustahil beliau berminat untuk beraksi di sana.

Jendela perpindahan pemain Liga 1 juga bakal dibuka tidak lama lagi dan ketika ini sudah ada kelab yang telah merekrut pemain.

Sama-sama kita nantikan destinasi seterusnya pemain itu. – HarimauMalaya