Jangan pandang rendah Bangladesh

Petaling Jaya: Jangan memandang rendah kepada Bangladesh kerana mereka mampu melakukan kejutan dengan mencipta kemenangan ke atas Malaysia.

Itu peringatan yang diberikan pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon kepada barisan anak buahnya menjelang perlawanan terakhir kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023, esok.



Bukannya tidak yakin dengan kemampuan barisan pemain Harimau Malaya, Pan-gon berkata, Bangladesh bukanlah mudah untuk dijinakkan berdasarkan kepada dua rekod pertemuan mereka bertemu Bahrain dan Turkmenistan.

Katanya, perkara penting ketika ini adalah melakukan persiapan rapi dan memastikan barisan pemain tidak lagi melakukan kesilapan mudah yang boleh memberi kelebihan kepada lawan untuk mencipta jaringan.





“Bangladesh adalah pasukan yang hebat sekali gus kita perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal pada perlawanan esok.

“Saya akui pemain kecewa tewas kepada Bahrain tempoh hari namun mereka sudah melupakan kisah duka dan cukup bersemangat mahu pastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai kesilapan mudah yang dilakukan pemain kerana mereka sudah memberikan terbaik pada dua perlawanan sebelum ini dan saya cukup menghargainya,” katanya pada sidang media pra perlawanan Malaysia bertemu Bahrain, di sini.





Sementara itu, ketika ditanya mengenai keadaan padang yang teruk mungkin menganggu rentak permainan pasukan, Pan-gon berharap perkara itu tidak berlaku terutama membabitkan perlawanan penting.

Mengikut rekod, Malaysia yang menduduki tangga kedua kumpulan E mengharapkan kemenangan dengan jaringan besar pada perlawanan esok dalam usaha melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2023.

Ketika ini, Bahrain berada di tangga teratas kumpulan dengan enam mata diikuti Malaysia (3 mata) dan tempat ketiga Turkmenistan ( 3 mata) manakala Bangladesh di tangga tercorot.