Kekalahan memalukan England dalam tempoh 94 tahun

Wolverhampton, United Kingdom: Pengurus England, Gareth Southgate menerima tanggungjawab di atas kekalahan terburuk Three Lions di tempat sendiri sejak 1928 apabila tewas kepada Hungary 0-4 di Wolverhampton awal pagi tadi.

Barisan pemain Southgate kini berdepan penyingkiran daripada saingan teratas Liga Negara-Negara selepas gagal meraih sebarang kemenangan dari empat perlawanan.


Namun beliau menyeru peminat untuk terus kekal menyokong pemainnya menjelang Piala Dunia dalam tempoh empat bulan.

“Saya benar-benar faham, malam ini adalah pengalaman yang mengecewakan,” kata Southgate yang menjadi sasaran kemarahan penonton di Molineux.

“Apa yang boleh saya katakan kumpulan pemain ini berjuang untuk negara dan apa yang penting adalah untuk penyokong terus kekal bersama mereka kerana mereka akan menjadi lebih kuat pada masa hadapan.”





England melepasi jangkaan apabila mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan mara ke final kejohanan besar buat kali pertama dalam tempoh 55 tahun di Euro 2020 musim panas lalu.

Sementara itu Kapten pasukan England, Harry Kane meminta penyokong untuk bersabar dan tidak panik.

“Ini bukan masa untuk panik,” katanya yang menolak sebarang cadangan bahawa Southgate harus dipecat.

“Ia adalah malam untuk dilupakan tetapi kita perlu menghadapinya dengan tenang. Kita perlu terus bergerak ke hadapan.





“Kami kini dalam persediaan untuk menghadapi kejohanan besar Piala Dunia dan itu lebih penting.”

Hungary memastikan kemenangan pertama mereka mengatasi England dalam 60 tahun di Budapest 10 hari lalu diikuti kemenangan pertama di England sejak kejayaan 6-3 di Wembley pada 1953.

Dua gol Roland Sallai serta gol lewat Adam Nagy dan Daniel Gazdag meletakkan skuad kendalian Marco Rossi di landasan tepat untuk ke final Liga Negara-Negara tahun depan.