Kim Pan-gon ucap terima kasih kepada semua

Kuala Lumpur: “Terima kasih kepada semua penyokong, semua kelab di Liga Malaysia termasuk TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang turut membantu dengan melepaskan 14 pemain JDT untuk pasukan negara.”

Itu ucapan pengendali negara, Kim Pan-gon selepas anak buahnya berjaya menamatkan badi 43 tahun untuk layak ke Piala Asia tahun depan.


Katanya, kejayaan mengalahkan Bangladesh 4-1 dan menamatkan penantian itu tidak akan berjaya tanpa bantuan semua pihak dan sokongan padu peminat, pemilik kelab dan kerajaan.

“Terima kasih kerana datang sokong Harimau Malaya, terima kasih banyak-banyak.





“Terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sokong kami…semua staf FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang banyak bantu saya, terima kasih banyak-banyak untuk malam ini.

“Sekali lagi terima kasih kepada semua penyokong Harimau Malaya,” katanya pada sidang media sejurus tamat aksi antara Malaysia dan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.




Malah, sebaik wisel penamat dibunyikan, Pan-gon disiram air oleh pemain dan pegawai pasukan sebagai meraikan detik bersejarah bagi bola sepak Malaysia itu.

Seperti biasa, pemain dan pengurusan pasukan berdiri menghadap penonton sambil bertepuk tangan dan menyanyi bersama.

Dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia itu, skuad negara membenam Bangladesh 4-1 menerusi sepakan penalti Safawi Rasid di minit ke-16, diikuti Dion Cools (m-38), Syafiq Ahmad (m-47) dan Darren Lok (m-73).

Manakala gol saguhati pelawat diraih melalui tandukan Mohammad Ibrahim di minit 31.