FAM rancang persiapan elak dibuli di Piala Asia 2023

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya perlu menggunakan tempoh kira-kira setahun untuk melakukan persiapan rapi bagi mengelak menjadi mangsa buli kepada pasukan besar di pusingan akhir Piala Asia 2023.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa pihaknya akan berbincang dengan jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon mengenai perancangan yang harus dilakukan dalam mempersiapkan skuad Harimau Malaya yang lebih mantap.



Beliau berkata, persiapan itu termasuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan yang lebih besar dan tidak lagi boleh menumpukan kepada lawan dari rantau Asia Tenggara.

“Kita perlu lihat pasukan ini akan dipersiapkan dalam tempoh setahun lagi jika (Piala Asia) bermain 2023, kemungkinan juga bermain 2024 selepas tuan rumah akan dibincangkan pada Oktober depan.

“Kalau 2024 lagi bagus, maknanya kita ada persiapan dan persiapan kali ini adalah lebih komprehensif yang mana kita perlu untuk membawa pasukan Malaysia lebih jauh lagi.





“Kita tak boleh bermain dalam ASEAN lagi, saya nak lihat kita pergi lebih jauh dan Kim Pan Gon sudah menyiapkan persiapan untuk setahun dan saya yakin dia tahu apa yang dia buat.

“Apabila masuk ke pusingan akhir Piala Asia kita tak nak dibuli. Mungkin kedudukan teratas ada pasukan kuat seperti Korea Selatan, Jepun dan Australia, tapi biarlah kita melawan,” katanya.

Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Selain itu, Hamidin turut berterima kasih kepada semua pihak terutama Ultras Malaya dan seluruh penyokong Harimau Malaya yang sentiasa menyokong pasukan untuk mencipta kejayaan itu.





“Terima kasih kepada semua kelab yang dapat melahirkan pemain walaupun mungkin sebahagiannya tak ada dekat sini. Kita lihat JDT banyak menyumbang pemain, tapi kita perlu melihat juga terhadap pihak lain termasuk MFL yang memberi sokongan kepada pemain serta pasukan.

“Saya perlu juga menyatakan bahawa sokongan kuat di belakang tabir dari Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Walaupun mungkin ramai yang ada persepsi lain, tapi suka atau tidak saya sudah bercakap dengan Tunku Ismail bahawa kita mengikut kelab JDT buat kali pertamanya layak.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri yang dua kali hadir ke stadium memberi sokongan kuat dan membantu FAM serta pasukan untuk bergerak ke depan,” katanya.