Harimau Malaya perlu tewaskan pasukan di ranking lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Skuad negara memiliki sekurang-kurangnya setahun untuk memperbaiki ranking sekiranya mahu ‘melompat’ dari Balang 4 ke Balang 3 bagi undian Piala Asia 2023.

Ranking semasa skuad Harimau Malaya ketika ini iaitu 154 menyaksikan mereka bakal mengisi Balang 4 bersama lima lagi negara dengan semua liga negara terbabit menghuni ranking melebihi 100.

Lima lagi negara yang mengisi Balang 4 adalah India (106), Thailand (111), Tajikistan (114), Hong Kong (147) dan juga Indonesia (159).


Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim melihat skuad negara perlu mengalahkan pasukan yang berada pada ranking ke-100 dunia dalam aksi persahabatan dalam misi melonjakkan ranking dan berada pada kedudukan lebih baik bagi undian Piala Asia 2023.

Namun bekas pengurus Selangor itu mengakui untuk ‘melompat’ sebanyak 54 anak tangga bukanlah satu kerja yang mudah apatah lagi tidak banyak pasukan dalam ranking terbabit berminat untuk bertemu pasukan yang berada pada ranking yang jauh lebih rendah.

“Di Piala Asia nanti, Malaysia dalam balang terakhir iaitu Balang 4. Dalam tiga lagi balang membabitkan 18 pasukan, semuanya pasukan dalam ranking ke-100 terbaik dunia.





“Malaysia ada 10 bulan lagi untuk tingkatkan ranking supaya dapat pindah ke Balang 3 atau berada dalam pasukan 100 terbaik dunia. Untuk mencapainya, Malaysia perlu kalahkan pasukan dalam ranking ke-100 dunia juga.

“Tetapi tidak semua pasukan ini sudi menentang pasukan di ranking bawahan kerana mereka pun mahu tingkatkan ranking mereka. Menang dengan pasukan di ranking bawahan hanya memberi sedikit mata,” katanya,

Dalam perkembangan sama, Zakaria mendedahkan masih ada cara lain untuk ‘memikat’ pasukan terbaik dunia bermain di sini namun pendekatan ini bakal memberi risiko kepada pungutan mata dan ranking Malaysia.

“Jalan mudah mungkin menerusi penganjuran siri kejohanan persahabatan tiga atau empat penjuru terutama pasukan yang sudah layak ke Piala Dunia tetapi tidak berada dalam kumpulan yang sama.





“Itulah sebenarnya imbuhan terbaik buat pasukan kebangsaan selepas layak ke Piala Asia 2023. Tetapi risikonya adalah mata ranking Malaysia mungkin akan menjunam jika kalah semua perlawanan,” katanya.

Kedudukan balang 24 pasukan yang layak ke Piala Asia

Balang 1
Iran (21)
Jepun (23)
Korea Selatan (29)
Australia (42)
Arab Saudi (49)
Qatar (51)

Balang 2
Emiriah Arab Bersatu (68)
Iraq (72)
Oman (75)
China (77)
Syria (88)
Vietnam (96)

Balang 3
Lubnan (97)
Uzbekistan (83)
Bahrain (89)
Jordan (91)
Kyrgyzstan (95)
Palestin (100)

Balang 4
India (106)
Thailand (111)
Tajikistan (114)
Hong Kong (147)
Malaysia (154)
Indonesia (159)