KDA FC mampu beri impak di Piala AFC

Alor Setar: Penjaga gol Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Shahril Saari yakin skuad Sang Kenari mampu tampil dengan kekuatan terbaiknya bagi aksi peringkat antarabangsa Piala AFC di Bali, Indonesia bermula 24 Jun ini.

Menurut penjaga gol berpengalaman berusia 32 tahun itu, Piala AFC adalah medan terbaik buat skuad Kedah melonjakkan nama selepas pernah melalui aksi berkenaan dua tahun lalu.




“Persiapan yang kami terapkan sangat rapi melalui latihan berintensiti tinggi yang sedang kami jalani. Kami terus bekerja keras berdasarkan perancangan diterapkan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

“Debaran Piala AFC yang akan bermula minggu depan cukup terasa membuatkan saya dan rakan seperjuangan begitu teruja dan bersemangat untuk bekerja keras dalam sesi latihan.





“Saya juga nampak sudah ada peningkatan dan perubahan yang lebih positif untuk kami hadir memberi saingan terbaik di Piala AFC nanti apabila bertemu kelab ternama di peringkat Asean,” katanya.

Shahril juga mengakui bukan tugas mudah untuk mendapat tempat utama sebagai penjaga gawang apabila beraksi pada perlawanan pertama nanti kerana lawan Kedah iaitu Bali United FC kini memiliki reputasi besar selepas menjuarai Liga 1 Indonesia sebanyak dua kali.





“Antara saya, Ifwat Akmal atau Ilham Amirullah, kami tetap bersatu hati mengenai siapa yang akan dipilih untuk beraksi beraksi nanti, asalkan pasukan Kedah mendapat kekuatan terbaik dalam memberi saingan nanti.

“Mungkin jurulatih akan nampak kelebihan terbaik antara kami bertiga yang akan dipilih untuk beraksi dan apa yang kami perlu persiapkan adalah bersedia secara mental dan fizikal sepenuhnya untuk beraksi,” katanya.