Tambah lagi pemain warisan bagi perkuatkan Harimau Malaya

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan untuk menambah lagi para pemain warisan bagi memperkuatkan cabaran Harimau Malaya menjelang kempen Piala Asia 2023.

Perkembangan itu diumumkan sendiri presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sambil menegaskan bahawa hanya para pemain mencapai standard dimahukan sahaja bakal dipilih untuk menguatkan lagi skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon tersebut.



“Saya rasa ada beberapa kelab sedang melihat pemain warisan iaitu ayah, mak atau datuk nenek dia dari Malaysia dan dia sudah boleh dapat pasport serta-merta.

“Tapi kita di Malaysia tidak memiliki ramai sangat pemain warisan seperti Filipina, yang ayah, datuk dia dari luar negara seperti Sepanyol dan Argentina.





“Kalau ada yang layak dan saya tengok beberapa kelab pun memiliki pemain warisan, mungkin kita akan mengalu-alukan mereka, tetapi perlu mencapai standard dalam skuad kebangsaan,” katanya.

Pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini, persembahan para pemain warisan ternyata tidak mengecewakan apabila hampir dalam mereka telah beraksi dengan baik sekali gus membantu menamatkan kemarau lebih 40 tahun tahun Malaysia untuk ke pentas Piala Asia.




Antara pemain warisan yang menjadi tonggak skuad kendalian Kim Pan-gon adalah Darren Lok, La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies, Junior Eldstal dan Dion Cools.

Malah Cools dinobatkan sebagai sebagai pemain terbaik perlawanan terakhir kumpulan kelayakan Piala Asia 2023 ketika menentang Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Bagaimanapun semangat dan aksi bertenaga para pemain warisan negara gagal diikuti pemain naturalisasi yang kerap menjadi bahan kecaman dalam kalangan penyokong skuad negara. – Sinar harian