Undian Piala Asia 2023 selepas umum tuan rumah, Korea Selatan umum bida tuan rumah

KUALA LUMPUR: 17 Oktober akan menjadi ‘tarikh keramat’ memandangkan pada hari itulah tuan rumah Piala Asia 2023 bagi menggantikan China yang menarik diri akan diketahui oleh semua 24 pasukan bertanding.

Perkembangan itu dinyatakan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

Namun badan induk itu masih berahsia mengenai jumlah negara yang sudahpun mengemukakan bidaan untuk menjadi tuan rumah dengan pasukan berminat masih boleh memohon sehingga tarikh akhir 30 Jun ini.



“Tarikh tutup untuk pasukan membida hak tuan rumah adalah pada 30 Jun dan selepas itu AFC akan mengadakan perbincangan dengan teliti bagi memilih tuan rumah untuk menggantikan China.

“Keputusannya dijangka diketahui pada 17 Oktober nanti. Bagi undian pula, belum ada tarikh tetapi kebiasaannya akan dilakukan lima atau enam bulan sebelum pertandingan. Kita tidak boleh berkongsi apa-apa maklumat lanjut buat masa ini jadi tunggu sehingga 30 Jun nanti,” katanya.

Menurut beberapa laporan media antarabangsa, Qatar, Arab Saudi, Jepun dan Korea Selatan dipercayai antara pilihan untuk menggantikan China sebagai tuan rumah Piala Asia 2023.

Australia yang memiliki fasiliti selepas menjadi tuan rumah edisi 2015 dikatakan sukar menjadi tuan rumah kerana mereka sudahpun menjadi penganjur Piala Dunia Wanita 2023 bersama New Zealand pada Julai dan Ogos 2023.





Qatar yang juga tuan rumah Piala Dunia 2022 dan Arab Saudi tidak dapat menganjurkan Piala Asia 2023 pada pertengahan tahun susulan cuaca yang panas dan kejohanan itu mungkin perlu ditarik sehingga hujung 2023 atau awal 2024.

Korea Selatan pula mengesahkan mereka sudah mengadakan ‘perbincangan’ selepas China menarik diri sebagai tuan rumah namun mereka bimbang tidak cukup masa untuk menyediakan kejohanan bertaraf dunia di negara itu.

Jepun sebelum ini pernah mendedahkan mereka sudah dihubungi secara tidak formal untuk kemungkinan menggantikan China sebagai tuan rumah Piala Asia 2023.

Jepun tampak memiliki infrastruktur untuk menganjurkan Piala Asia pada Jun dan Julai tahun depan selepas menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2002, Piala Dunia Ragbi 2019 dan kejohanan bola sepak Olimpik tahun lalu.

Sementara itu Korea Selatan akan membuat bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 susulan keputusan China menarik diri sebelum ini, kata Persatuan Bola Sepak Korea (KFA).





“Persatuan Bola Sepak Korea membida untuk menganjurkan Piala Asia AFC 2023 yang dihoskan oleh AFC di Korea,” kata KFA menerusi kenyataan di laman web mereka.

“Oleh kerana itu, kami ingin meneruskan bidaan daripada kerajaan tempatan yang mempunyai stadium yang boleh menganjurkan aksi antarabangsa.”

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol menyokong penuh untuk menganjurkan kejohanan itu dan sudah mengarahkan menteri sukannya untuk memastikan mereka memperoleh hak penganjuran.