Man United enggan lepas Maguire ke Barcelona

MANCHESTER: Manchester United menolak tawaran Barcelona untuk mendapatkan kapten Harry Maguire dalam rundingan membabitkan Frenkie de Jong.

Barcelona dilaporkan cuba menandatangani Maguire sebagai pertukaran untuk De Jong, tetapi pengendali baharu United Erik ten Hag mahu mengekalkan bek tengah England itu.

De Jong dilihat sebagai sasaran utama Ten Hag dalam jendela perpindahan kali ini, pemain yang yang pernah bersamanya ketika di Ajax.



Barisan tengah United perlu dirombak sepenuhnya dan De Jong dikatakan mampu memberi impak besar dalam memastikan pasukan dapat bergerak sebagai satu unit.

Ten Hag perlu kembali memperkuat nadi pasukannya selepas Nemanja Matic, Paul Pogba, Juan Mata dan Jesse Lingard tidak lagi bersama United musim depan.

Pengendali Barcelona Xavi pula mencari bek tengah baharu selepas Gerard Pique sering dibelenggu kecederaan dan Samuel Umtiti bakal meninggalkan Camp Nou.





Mereka boleh memanggil Ronald Araujo, Eric Garcia dan Clement Lenglet tetapi corak permainan ‘agresif’ Maguire dilihat menepati falsafah bola sepak Barcelona.

Bagaimanapun corak permainannya musim lalu sekadar mengundang kritikan peminat di mana United mengharungi kempen memalukan untuk sekadar berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris.

Bek tengah berusia 29 tahun itu pernah beraksi untuk Sheffield United dan Hull City, dan menjadi pertahanan termahal dunia ketika berpindah dari Leicester ke United pada tahun 2019.





Dia membuat 144 penampilan untuk United tetapi masih belum memenangi sebarang kejuaraan, dan prestasinya di atas padang sering mendapat kritikan peminat.

Bagaimanapun dia dilihat lebih konsisten di pentas antarabangsa sepanjang 46 penampilannya dan masih mendapat kepercayaan pengendali England, Gareth Southgate. – AGENSI