Jordi Amat pilih JDT bukan kerana wang

KUALA LUMPUR: Bintang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat menegaskan bahawa tindakannya menyertai Harimau Selatan bukan kerana wang semata-mata.

Sebaliknya bekas pertahanan Swansea City itu menjelaskan terdapat beberapa faktor dia memilih JDT termasuk mahu menyesuaikan diri di Asia, berdekatan Indonesia dan bersaing di peringkat tertinggi bola sepak Asia kerana Harimau Selatan bersaing di Liga Juara-Juara Asia (ACL).


Mengakui kagum dengan fasiliti yang dimiliki JDT, pemain berusia 30 tahun itu berkata dia turut menerima pendapat daripada kenalan dan bekas rakan sepasukan sebelum memutuskan menyertai kelab milik Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Johor hanya dua jam perjalanan dari Indonesia menggunakan jalan udara, dan kelab itu salah satu daripada 16 terbaik di ACL dan dengan undangan dari @hrhcrownprinceofjohor (Tunku Ismail), saya dapat mengunjungi semua fasiliti mereka.

“Saya jamin kepada semua bahawa fasiliti seperti ini belum saya pernah temui dalam pasukan saya sebelumnya,” katanya dalam kenyataan di Instagram miliknya, hari ini.





JDT hari ini secara rasmi mengumumkan Jordi sebagai pemain baharu yang ditandatangani mereka selepas mengikat bekas pertahanan KL City, Daniel Ting.

Selain Swansea City, Jordi juga pernah bermain bersama beberapa kelab Sepanyol termasuk Espanyol, Rayo Vallecano dan Real Betis.

Selain itu, Jordi turut menafikan tuduhan bahawa dia ingin mendapatkan pasport Indonesia hanya kerana mahu menjadi pemain import kuota Asia untuk JDT.





“Saya ingin semua orang tahu bahawa sebelum saya mengambil keputusan ini, saya juga mendapat beberapa tawaran dari beberapa liga besar dari negara lain.

“Saya juga ingin mengesahkan bahawa nenek saya lahir, membesar dan tinggal di Makassar, Indonesia, di mans saya masih mempunyai keluarga disana.

“Saya sangat bangga untuk mewakili pasukan kebangsaan Indonesia. Matlamat saya untuk membantu pasukan kebangsaan dengan kerja keras dan pengalaman saya,” katanya.