Perlu pantas tutup ruang – Hassan

Kuala Lumpur: Barisan pemain skuad bawah 19 (B-19) tahun negara diingatkan agar tidak memberi ruang dan membiarkan pemain Vietnam bergerak bebas dalam aksi separuh akhir Kejuaraan AFF B-19 di Stadium Patriot Candrabhaga, di Indonesia, petang esok.

Menurut pengendali negara, Hassan Sazali Waras, pemain negara perlu berhati-hati dengan pergerakan pantas lawan terutama di depan gawang dengan pemain pertahanan harus menutup setiap ruang.



“Vietnam agak bagus, jadi kita tak boleh bagi peluang atau ruang lebih besar untuk mereka merancang pergerakan,” katanya ketika ditanya mengenai perancangannya untuk aksi separuh akhir itu nanti.

Skuad muda negara mara ke separuh akhir selepas muncul naib juara Kumpulan B di belakang Laos yang akan berdepan Thailand dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Jelas Hassan, walaupun anak buahnya tewas 0-1 dalam aksi terakhir kumpulan kepada Laos semalam, beliau percaya pemain akan bangkit di pusingan kalah mati itu nanti.




“Saya berharap kita kembali bangkit di perlawanan separuh akhir menentang Vietnam nanti (esok).

“Mungkin dengan kesilapan kita (ketika menentang Laos) walaupun kita berusaha untuk mencapai kemenangan, tapi dengan satu kesilapan kita terpaksa menerima kekalahan ini.

“Peluang yang diperolehi kita tidak dapat menyudahkannya. Pada minit terakhir kita menguasai penuhnya permainan, tapi peluang tidak dapat disempurnakan,” katanya mengulas tentang aksi dengan Laos itu.





Menurutnya, tempoh rehat sehari diharap akan memberi peluang buat pemain yang mengalami kecederaan untuk pulih sebelum aksi separuh akhir.

“Ada beberapa pemain utama mengalami sedikit kecederaan dan ada yang direhatkan (tidak diturunkan bertemu Laos) supaya mereka boleh memberi tumpuan bagi separuh akhir.

“Selepas ini kita balik (semalam) dan ada satu hari rehat (hari ini), saya harap dengan tempoh itu kita dapat segarkan pemain sebelum perlawanan,” katanya.