Vietnam pasukan yang bagus, Hassan mahu anak buah bangkit

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan ranjau berduri untuk merebut tiket ke final Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) AFF 2022 selepas Vietnam menanti mereka di separuh akhir, petang ini.

Berdasarkan rekod, Vietnam jelas memiliki kelebihan moral selepas hanya tewas sekali di tangan Malaysia dalam 10 pertemuan dalam pertandingan terbabit sejak 2002.



Malang buat skuad negara, mereka tewas tujuh kali sekali gus menyaksikan aksi petang ini pasti menjanjikan cabaran yang lebih getir buat skuad bimbingan Hassan Sazali Waras itu.

Hakikat itu diakui Hassan sendiri apabila menegaskan betapa Vietnam sememangnya pasukan yang bagus dan menuntut anak buahnya lebih berhati-hati memandangkan pertembungan ini jauh berbeza berbanding aksi peringkat kumpulan.

“Vietnam pasukan yang bagus, jadi kita tidak seharusnya memberi peluang dan ruang yang besar untuk mereka. Saya juga mengharapkan pemain dapat bangkit selepas tewas pada aksi terakhir kumpulan di tangan Laos sebelum ini.

“Selepas empat perlawanan, kita sudah mendapat keserasian antara pemain tetapi pemain harus tunjukkan aksi yang lebih baik pada separuh akhir nanti. Kita perlu menyudahkan peluang yang kita peroleh,” katanya.





Dalam masa sama, Hassan turut mengharapkan tempoh rehat sehari yang ada sebelum turun untuk aksi separuh akhir mencukupi bagi memastikan pemain kembali ‘segar’ dan mampu memberikan aksi yang maksimum.

“Kita merehatkan beberapa pemain utama untuk memberi tumpuan pada aksi separuh akhir dan saya harap pemain dapat terus memberikan prestasi yang terbaik selepas rehat sehari ini,” katanya.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad negara di pentas Kejuaraan B-19 AFF adalah menjuarai edisi 2018 apabila menumbangkan Myanmar 4-3 pada final di Indonesia.

Malaysia juga berjaya mara ke final ketika edisi terakhir pada 2019 di Vietnam namun dikecewakan Australia yang merangkul kejuaraan kelima dengan keputusan 1-0.

Rekod pertemuan Malaysia menentang Vietnam di Kejuaraan B-19 AFF

Malaysia menang 1

Seri 2

Vietnam menang 7

2003: Vietnam 1-2 Malaysia (Peringkat kumpulan)

2006: Vietnam 2-2 Malaysia (Peringkat kumpulan)




2007: Vietnam 1-0 Malaysia (Final)

2009: Malaysia 0-2 Vietnam (Peringkat kumpulan)

2009: Malaysia 0-3 Vietnam (Penentuan tempat ketiga)

2011: Vietnam 2-1 Malaysia (Separuh akhir)

2013: Vietnam 1-0 Malaysia (Peringkat kumpulan)

2015: Vietnam 0-0 Malaysia (Peringkat kumpulan)

2016: Malaysia 1-3 Vietnam (Peringkat kumpulan)

2019: Vietnam 1-0 Malaysia (Peringkat kumpulan)