Kedah tak rela kecewa kali kedua

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu tampil lebih bertenaga apabila hadir sekali lagi ke Terengganu pada saingan aksi Liga Super untuk berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam esok.

Tidak rela dikecewakan kali kedua, skuad Sang Kenari mahu memastikan mereka mencipta rentak kemenangan sebaik memulakan saingan Liga Super dengan penuh motivasi.



Menurut Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak, hanya kemenangan dapat mengubati kekecewaan selepas Sang Kenari terpaksa akur kekalahan 0-1 kepada TFC menerusi jaringan Faiz Nasir dan sekaligus tersingkir dari saingan Piala FA di stadium sama pada 6 Julai lalu.

“Selepas kekalahan tempohari, perasaan kami cukup kecewa kerana mahu layak ke peringkat suku akhir dan kekalahan itu juga merupakan pengajaran buat kami walaupun kami sedar telah menempuhi beberapa perlawanan penting untuk layak dalam saingan separuh akhir Zon Asean Piala AFC.





“Saya mahu Kedah hadir serta bangkit mencipta kemenangan kali ini dan hanya tiga mata penuh dapat mengubati kekecewaan.

“Saya yakin kami akan tampil semula dengan keadaan lebih segar dan bersedia selepas mengetahui kelemahan dan kekuatan TFC untuk pertemuan kali kedua ini.” katanya.

Menyedari kelebihan pihak lawan yang beraksi di laman sendiri, Aidil menggesa pemain meningkatkan mentaliti masing-masing apabila beraksi di tempat lawan untuk mendapat kemenangan.





“Apa yang perlu kami terapkan adalah menunjukkan karakter sebenar untuk mencapai tahap permainan yang dapat memberi hasil kemenangan. Pastinya kami mahu ke sana dengan mentaliti kemenangan bagi memastikan sambungan saingan perjalanan Liga Super ini dilalui dengan rentak bermotivasi dan saya berharap kami dapat beraksi seperti kami pamerkan di Bali lalu,” katanya.

Kedah berada pada tangga keempat carta Liga Super dengan mengutip 14 mata melalui sembilan perlawanan sementara TFC ditangga kelima dengan mengumpul 13 mata daripada lapan perlawanan.