Kedah tersungkur lagi di Gong Badak

KUALA TERENGGANU: Gergasi Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) melebarkan rekod kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC selepas menang 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, dekat sini, malam tadi.

Kejayaan itu juga sekali gus menyaksikan skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri selain melonjak ke tangga keempat selepas mengutip 16 mata hasil sembilan perlawanan manakala Sang Kenari jatuh di tempat kelima liga dengan 14 mata.


Pada aksi berkenaan, TFC yang masih segar dengan kemenangan 1-0 pada pusingan kedua Piala FA, bermula garang apabila berjaya di depan pada minit ke-13 melalui jaringan bekas penyerang pelawat, Kpah Sherman.

Jaringan itu berpunca daripada gerakan pemain tengah, Petrus Shetembi yang melorongkan bola kepada Faisal Halim sebelum pemain itu melakukan hantaran silang di sebelah kiri pintu gol Kedah yang disambar Sherman untuk pasukannya mendahului 1-0.

Pada minit ke-22, tuan rumah berpeluang menambah jaringan kedua menerusi rembatan kencang Shetembi, namun berjaya ditampan penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kasim.





Seminit berselang, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mendapat peluang terbaik menyamakan kedudukan, tapi gagal disempurnakan penyerang utamanya, Wanja Ngah yang menolak tinggi melepasi palang gol biarpun hanya berdepan dengan penjaga gawang, Mohd Suhaimi Husin.

Berbekalkan sokongan lebih 6,000 peminat setia, tuan rumah mendapat dua lagi peluang terhidang pada minit ke-34 menerusi Manuel Ott dan Sherman tiga minit berselang, namun dua tonggak import itu gagal menterjemahkan peluang itu.

Skuad Kenari juga mendapat satu lagi peluang terbaik menyamakan kedudukan, namun rembatan kencang Muhammad Arif Farhan MD Isa dari luar kotak penalti pada minit ke-36 hanya menggegarkan palang sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.





Sedar banyak gerakan tidak menjadi, Aidil Sharin melakukan tiga pertukaran serentak bermula pada babak kedua dengan memasukkan Azammuddin Akil, Mohd Fayadh Mohd Zulkifli dan Mohamad Heshamudin Ahmad bagi menggantikan kapten, Mohd Syazwan Zainon, Asnan Ahmad dan Muhamad Kamil Akmal Abd Halim, namun masih gagal memburu gol penyamaan.

Sebaliknya tuan rumah yang mendominasi permainan berjaya menambah jaringan kedua menerusi rembatan mengelirukan Ott dari luar kotak penalti pada minit ke-57 untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.

Kedah mendapat gol saguhati menerusi Azammuddin pada masa kecederaan untuk kedudukan muktamad 2-1 yang berpihak kepada tuan rumah.