Malaysia rangkul kejuaraan B-19 AFF

KUALA LUMPUR: Bumi Indonesia sekali lagi menghadirkan tuah buat negara apabila memenangi Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) AFF 2022 dengan menundukkan Laos 2-0 pada aksi final di Stadium Patriot Chandrabhaga, Jakarta malam tadi.

Ini adalah kejuaraan kedua buat negara yang mara ke final buat kali keempat berturut-turut selepas berjaya merangkul gelaran sama pada edisi 2018 yang turut berlangsung di Indonesia.


Keputusan itu juga menyaksikan anak buah Hassan Sazali Waras membalas dendam atas kekalahan pada aksi peringkat kumpulan dan menghadiahkan kekalahan pertama buat Laos pada kempen itu.

Malaysia hanya memerlukan 13 minit untuk membocorkan gawang Laos selepas sepakan percuma Faiz Amer Runnizar yang ‘ditembak’ terus ke gawang Laos berjaya menewaskan Phounin Xayyasone.





Penjaga gol negara, Syahmi Adib Haikal begitu ‘sibuk’ di gawangnya apabila diuji dengan beberapa percubaan dari dalam kotak penalti namun benteng terakhir itu kental mempertahankan gawangnya daripada dibolosi.

Bersambung babak kedua, Malaysia beroleh peluang keemasan untuk menggandakan kelebihan pada minit ke-61 namun percubaan Faiz Amer yang berada betul betul di hadapan pintu gol Laos melambung tinggi.





Situasi menjadi kian berat buat Laos apabila gol kedua yang dicari Malaysia hadir pada minit ke-76 menerusi tampanan kemas Aliff Izwan Yuslan untuk menewaskan Xayyasone buat kali kedua.

Sementara itu, penentuan tempat ketiga yang turut berlangsung di venue sama pada sebelah petang diungguli Vietnam yang menewaskan Thailand 5-3 menerusi sepakan penentuan penalti selepas terikat 1-1.

Thailand yang juga juara lima kali itu terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Sittha Boonlha pada minit ke-42 namun diikat oleh Nguyen Quoc Viet pada minit ke-53.