Kejayaan petanda masa depan bola sepak negara cerah

KUALA LUMPUR: Persembahan memukau Harimau Muda sehingga berjaya menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Jakarta jelas memberi petanda bahawa masa depan bola sepak Malaysia cukup cerah dan berada dalam keadaan yang baik.

Pengendali skuad B-19 negara, Hassan Sazali Waras menegaskan pencapaian diraih di Stadium Patriot Chandrabhaga itu bertitik tolak daripada program pembangunan yang disifatkannya berjaya melahirkan pemain terbaik sekali gus menjadi tonggak kepada pencapaian di negara jiran itu.


“Boleh saya katakan bahawa mereka semua akan jadi pemain senior. Ini adalah hasil pembangunan yang ada struktur di Malaysia sehingga dapat melahirkan pemain yang ada di peringkat pelapis ini.

“Terima kasih jurulatih yang terbabit dengan program itu dan banyak berusaha melahirkan pemain daripada akar umbi sehingga ke peringkat sekarang. Platform ini akan melahirkan pemain yang lebih berkualiti,” katanya.





Terdahulu, Malaysia merangkul kejuaraan AFF buat kali kedua selepas menundukkan Laos 2-0 pada aksi final di Stadium Patriot Chandrabhaga, semalam.

Jaringan pada setiap babak menerusi Faiz Amer Runnizar dan Aliff Izwan Yuslan memastikan Malaysia berjaya membalas dendam atas kekalahan di tangan lawan sama pada aksi terakhir peringkat kumpulan.





Dalam masa sama, Hassan turut mengakui betapa bumi Indonesia seakan memberi tuah kepadanya apabila dia menikmati kenangan manis bersama pasukan kebangsaan sebelum ini.

“Bukan hanya bersama skuad B-19 tetapi saya juga menikmati kejayaan ini bersama skuad Bawah 23 tahun (B-23) pada Sukan SEA 2011 di mana kita menjuarai kejohanan terbabit bersama dengan pengendali, Datuk Ong Kim Swee.

“Jadi pengalaman terbabit amat berguna kepada saya dan inilah hasilnya yang saya dapat,” katanya.