Cheng Hoe ke Selangor?

Kuala Lumpur: Adakah bekas pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe bakal mengambil alih tugas sebagai Ketua jurulatih Selangor kelak?.

Situasi terbabit bertiup kencang ketika ini apabila terdapat perkhabaran mengaitkan Cheng Hoe bakal kembali ke kancah Liga Super dengan melatih skuad Gergasi Merah.

Hal terbabit timbul selepas prestasi kurang memuaskan Selangor hingga menyebabkan Ketua jurulatih pasukan terbabit Michael Feichtenbeiner diberikan amaran keras bakal disisihkan jika tidak melakukan sesuatu terhadap juara 33 kali Piala Malaysia itu.



Feichtenbeiner ketika ditanya mengenai situasi berkenaan sebaik tamat perlawanan menentang Penang malam tadi berkata, beliau enggan memikirkan mengenai spekulasi yang mengaitkan tempatnya bakal digantikan dengan pengendali baharu.

Jurulatih yang berasal dari Jerman itu menegaskan, fokusnya sekarang ini adalah untuk menjalankan tugas sebaik mungkin terutama menjelang aksi getir berdepan pasukan jiran, Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Rabu ini.

“Saya tidak berminat mengenai perkara itu. Sekarang saya fokus kepada aksi berdepan KL City, ia satu lagi perlawanan yang sukar bagi pemain,” katanya selepas aksi berdepan Penang di Stadium MBPJ, semalam.





Sebelum ini, terdapat desakan daripada peminat Selangor supaya Feichtenbeiner digantikan dengan jurulatih baharu susulan prestasi kurang memuaskan Gergasi Merah dalam saingan Liga Super.

Namun, Selangor berjaya meraih kemenangan dalam dua aksi terakhir termasuk menewaskan KL City 1-0 di pusingan kedua Piala FA dan menundukkan Penang 2-0 dalam saingan Liga Super, semalam.





Selangor kini menghuni tangga kelima Liga Super selepas mengumpul 15 mata daripada 10 perlawanan, manakala Penang pula kekal di kedudukan tercorot dengan tujuh mata.

Mengulas mengenai kejayaan membenam Penang 2-0 malam tadi, Feichtenbeiner mengakui berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya hingga berjaya meraih tiga mata penting.

“Kami memiliki beberapa pemain yang bagus di bangku simpanan dan pasukan ini bukan sahaja bergantung kepada 11 pemain. Hari ini mereka menunjukkan aksi yang terbaik,” katanya.