Gamel minat ganti Maloney

KUANTAN: Christophe Gamel mengakui, dia berminat untuk mengisi kekosongan yang di­tinggalkan pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23 Malaysia), Brad Maloney, Rabu lalu selepas khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh Sri Pahang.

Pengendali kelahiran Perancis itu bagaimanapun menegaskan, dia tidak meletak jawatan sebagai pengendali Tok Gajah, sebaliknya ia keputusan pengurusan kelab yang mahu menukar jurulatih.


Ditanya perancangan masa depannya, Gamel berkata, dia akan terus menetap di Malaysia kerana telah jatuh cinta dengan negara ini.

“Saya akan terus mencari peluang di Malaysia dan berharap mendapat pasukan yang mana saya boleh bertanggungjawab dalam hal-hal seperti pengambilan dan mengembangkan kelab.

“Saya melihat skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara ada kekoso­ngan, ia juga merupakan cabaran yang baik untuk karier saya,” ­katanya kepada Mingguan ­Malaysia.





Gamel, 49, berkata, khabar angin yang mengatakan dia ­meletakkan jawatan gara-­gara prestasi hambar Tok Gajah dalam Liga Super tidak betul.

“Apa yang boleh saya be­ri­tahu, kelab ingin menukar juru­latih dan perbincangan telah dibuat untuk mendapatkan persetujuan bersama tetapi saya tidak pernah meletak jawatan saya sendiri.

“Segala keputusan yang dicapai adalah demi kebaikan Pahang, institusi ini me­nga­tasi segala-galanya dan saya menghormati keputusan lembaga pengarah dan pemilik kelab,” katanya.





Gamel dilantik sebagai Ke­tua Jurulatih Sri Pahang bermula 1 Disember 2021 bagi menggantikan Dollah Salleh yang kini menjadi pengurus pasukan.

Gamel sudah bersama Sri Pahang sebagai penolong jurulatih pada awal musim 2021 sebelum diberikan peranan untuk mengendalikan pasukan Piala Presiden.

Sebagai rekod, Gamel terlibat di dalam bidang kejurulatihan sejak 1990 bersama pasukan CS Meaux B-9 dan pernah membimbing skuad Qatar B-17 dan B-19 selain menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Fiji.