Penstrukturan semula Liga-M, 9 import musim depan

Malaysia Football League (MFL) hari ini telah membentangkan penstrukturan semula Liga Malaysia untuk musim 2023. Lebih menarik, saingan Liga Super 2023 akan memiliki 18 buah pasukan bertanding berbanding 12 pasukan.

Perubahan bilangan pasukan ini dilakukan untuk menambahkan lagi tahap kompetitif Liga Malaysia selain meningkatkan nilai komersial untuk menarik lebih banyak tajaan daripada syarikat besar.

Namun begitu, tiada lagi Liga Premier mulai musim depan dan 6 pasukan utama daripada Liga Premier akan membentuk 18 pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Super 2023, manakala bakinya iaitu pasukan ‘feeder club’ akan beraksi dalam Liga Simpanan yang bakal ditubuhkan.


Liga Premier akan dimansuhkan dalam tempoh tertentu sebelum akan dilancarkan semula sebagai Liga Semi-Pro selepas program pembangunan kelab dilaksanakan bersama AFL untuk pasukan pasukan M3.

Liga Super 2023 yang disertai oleh 18 pasukan ada zon penyingkiran ke liga bawahan. Bagaimanapun, jumlah pasukan Liga Super akan dikurangkan kepada 16 pasukan mulai musim 2024 tetapi tiada penyingkiran ke liga bawahan.

Tahun ini (2022), dua pasukan paling bawah Liga Premier akan bersaing dengan 2 pasukan Liga M3 untuk slot ke-17 dan ke-18 Liga Super tahun 2023 namun wakil M3 wajib memenuhi kriteria pelesenan kelab MFL sebelum diterima masuk ke Liga Super di mana bagi musim 2023 pula, Liga Super akan bergerak ke liga 16 pasukan.

Ada satu lagi perubahan yang mengejutkan peminat bola sepak tempatan iaitu mengenai pertambahan jumlah pemain import untuk setiap pasukan yang bertanding. MFL mengesahkan setiap pasukan dibenarkan mengambil 9 pemain import tetapi hanya 5 pemain import beraksi di atas padang manakala seorang lagi pemain berada di bangku simpanan mengikut peraturan AFC.





Walaupun MFL akan mengikut ketetapan AFC dalam pengunaan 6 pemain import namun MFL masih kekal dengan hanya menbenarkan 5 pemain import (iaitu 3+1 (Asia)+1 (ASEAN)) diatas padang pada satu satu masa dengan hanya tambahan seorang pemain di bangku simpanan bagi menjaga slot pemain tempatan di atas padang tidak terjejas.

Bagaimanapun penggunaan pemain import tidak diwajibkan dan bergantung kepada kesesuaian dan percaturan pasukan masing-masing.

Satu lagi liga yang akan diadakan mulai tahun 2023 adalah Liga Simpanan dimana saingan liga ini akan memiliki 18 pasukan bertanding untuk pemain bawah 23 tahun (B-23). Pasukan-pasukan dalam liga ini dilihat sebagai skuad pembangunan kepada semua 18 pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super 2023.

Untuk memastikan kualiti perlawanan Liga Simpanan dipertingkatkan, pembangunan diutamakan dan adaptasi pemain B-23 bersedia beraksi di Liga Super pada bila-bila masa, setiap pasukan Liga Super akan dibenarkan untuk menyenaraikan lima(5) pemain lebih umur dalam Liga Simpanan tetapi hanya tiga (3) pemain lebih umur termasuk import (maksimum dua (2) pemain) dibenarkan beraksi di atas padang bagi menjamin minit permainan untuk sekurang-kurangnya lapan (8) pemain tempatan B-23 pada setiap masa.





Slot lebih umur dan kelibat pemain import ini akan mengimbangkan dan meningkatkan penanda aras liga selain menjadi landasan buat pemain B-23 untuk menyesuaikan diri dengan jurang Liga Super.

Ini juga menbuka peluang kepada pasukan Liga Super untuk mengunakan Liga Simpanan sebagai platform pemulihan pemain senior ataupun memastikan pemain pasukan utama diberi peluang pengekalan prestasi.

Liga Simpanan ini bukan sahaja perlu dilihat daripada aspek pembangunan sebaliknya Liga Simpanan ini adalah pembaharuan positif untuk pemain tempatan di mana ia akan beroperasi sebagai ‘persediaan pemain’ untuk melangkah ke Liga Super.

Saingan Piala Presiden (B-21), Piala Belia (B-19) dan Liga KPM B-17 turut diadakan bagi meneruskan proses pembangunan pemain muda di peringkat akar umbi. – Vocketfc