Ganti Gamel, Sri Pahang Umum Ketibaan Dollah Salleh Dan Fandi Ahmad

Sri Pahang FC secara rasmi berpisah dengan Christophe Gamel selepas mengesahkan kembalinya Dollah Salleh dan Fandi Ahmad bersama pasukan itu berkuat kuasa serta merta.

Khabar angin jurulatih dari Perancis itu bukan perkara baharu kerana kedua-duanya dilaporkan telah mencapai persetujuan bersama untuk membawa haluan masing-masing selepas beberapa keputusan memberangsangkan pasukan itu di dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini.




Melalui kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Sri Pahang mengesahkan Dollah Salleh akan dilantik sebagai ketua jurulatih interim pasukan itu sehingga ke penghujung musim.

Khabar angin Fandi Ahmad akan dilantik menggantikan Gamel bagaimanapun tidak menjadi kenyataan apabila legenda Singapura itu diberikan peranan berlainan bersama pasukan itu.





“Kelab Bolasepak Sri Pahang mengumumkan bahawa pengurus pasukan Dollah Salleh telah dilantik sebagai ketua jurulatih interim pasukan Liga Super Sri Pahang sehingga akhir musim ini.

“Beliau mengambil alih tugasan daripada Christophe Gamel yang tidak diteruskan khidmatnya.Kelab juga mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Christophe Gamel.





“Sementara itu, Sri Pahang turut berbesar hati mengumumkan Fandi Ahmad sebagai Penasihat Teknikal kelab,” ujar kenyataan tersebut.

Fandi bukanlah nama asing dalam kalangan penyokong Sri Pahang. Beliau pernah menyarung jersi tok gajah selama dua musim dan merupakan anggota skuad kejuaraan berganda Liga Premier dan Piala Malaysia Tok Gajah pada musim 1992.