Tunggu 10 tahun lagi untuk guna Tuck, Aguero sebagai naturalisasi

PETALING JAYA: Sri Pahang terpaksa melupakan atau menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun untuk mendaftarkan Lee Tuck dan Sergio Aguero sebagai pemain naturalisasi.

Ini berdasarkan peraturan yang termaktub dalam Manual Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), di mana pemain yang ingin didaftarkan sebagai naturalisasi bagi pasukan mahupun kelab perlu menunggu sekurang-kurangnya lima tahun lagi.



Keadaan itu menyaksikan Lee Tuck yang berusia 34 tahun dan Aguero, 28 ketika ini hanya boleh didaftarkan sebagai naturalisasi bagi Sri Pahang pada usia 39 dan 33 tahun.

Ini berbeza dengan proses naturalisasi bagi skuad kebangsaan yang boleh terus didaftarkan dan beraksi selepas lima tahun bermain dalam Liga Malaysia dan memenuhi segala kriteria ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, peraturan ini sememangnya sudah termaktub dan terkandung dalam manual MFL.

“Apa yang saya boleh katakan kalau baca manual, kamu akan tahu status, didalam manual itu dah termaktub apa proses dan apa statusnya.

“Setelah dikemukakan surat daripada Pahang, kita daripada MFL dan Ahli Lembaga Pengarah terbuka untuk mendengar kes ini daripada Pahang.





“Itu yang termaktub dan terkandung dalam manual MFL, perkara bukan tiba-tiba ada tahun ini tetapi sejak 2017.

“Itu antara apa yang Pahang cadangkan untuk kita (MFL) lihat peraturan tersebut,” katanya selepas Mesyuarat Luar Biasa (EGM), semalam.

Kata Stuart, Sri Pahang FC telah kemukakan surat kepada MFL untuk mengemukakan perkara ini kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) dan setelah ALP berkumpul dan mendengar kes atau rayuan daripada Pahang mereka akan kemukakan kenyataan rasmi selepas itu.





“Disebabkan perkara ini masih di dalam proses antara MFL dan Sri Pahang tetapi saya boleh katakan di sini proses antara Sri Pahang dengan MFL berjalan lancar disebabkan perkara yang sedang dibincangkan memang ternyata dan termaktub dalam manual MFL bukan perkara yang dicipta tetapi memang dah wujud.

“Dengan itu pemahaman daripada Pahang dan MFL sama dalam hal ini tetapi Pahang juga mempunyai kehendak dan kita sedia mendengar.

“Surat tersebut telah dise­rahkan kepada Sekretariat dan saya telah serahkan kepada Datuk Presiden dan ALP akan dengar perkara ini dalam masa terdekat,” katanya.