FAM sedang siasat insiden pengadil

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menyiasat insiden membabitkan pengadil dalam aksi Liga Perdana dan Piala FA yang berlangsung minggu lalu.

Insiden berkenaan membabitkan aksi Liga Perdana antara Kelantan dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat lalu dan perlawanan suku akhir, Sabah menentang Selangor di Stadium Likas, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram meminta semua pihak memberi mereka ruang untuk meneliti atau menyiasat secara terperinci mengenai insiden terbabit sebelum mengambil apa-apa tindakan yang sewajarnya.


“Kita baru siasat, bagi kami dua, tiga hari sebab kami akan panggil jawatankuasa penilai prestasi pengadil dan kami akan adakan mesyuarat,” katanya kepada BH Sukan.

Insiden ‘panas’ di Kota Bharu tercetus pada minit ke-71 apabila penyerang import Kelantan, Kervens Bilfort dikasari pemain JDT II, Mohd Feroz Baharuddin dan bola ‘bergolek’ sebelum berjaya dikejar pemain Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohd.

Namun, ketika Syed Sobri sudahpun mendapatkan bola serta cuba melancarkan serangan, pengadil perlawanan, Muhammad Nasruddin Muhammad Tamrin meniup wisel dan situasi itu mencetuskan perasaan tidak puas hati kem The Red Warriors (TRW) yang dilihat menyerbu ke arah pembantu pengadil.

Menerusi laporan BH Sukan, kelmarin, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan pengadil seharusnya memberi ‘advantage’ dan meneruskan permainan terbabit.





Sementara itu, pengadil pada aksi suku akhir Piala FA membabitkan Sabah dan Selangor, Suhaizi Sukri turut menjadi tular di media sosial atas tindakan yang dilakukannya pada perlawanan di Stadium Likas.

Menerusi klip video yang tular, pertahanan Selangor, Fazly Mazlan melakukan kekasaran terhadap pemain Sabah, Baddrol Bakhtiar yang menyebabkan Baddrol tergolek di atas padang.

Selepas itu, Fazly dilihat ‘bertekak’ dengan Suhaizi namun pengadil itu dilihat mengangkat kakinya sedikit ke arah pemain Selangor terbabit dengan penyokong mendakwa tindakan itu seperti mahu menendang Fazly.





Mengenai insiden itu, Subkhiddin menerusi akaun Twitternya berkata kedua-dua pihak perlu diadili sebaiknya dan tiada pengecualian terhadap mana-mana pihak.

“Yang bersalah perlu diadili dengan sewajarnya. Saya perhatikan tangan pemain berkenaan terdapat sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku di situ. Biar mereka diadili sebaik-baiknya,” tulis Subkhiddin.