Sembilan pemain import, cabaran buat pemain tempatan

KUALA LUMPUR: Format baharu pendaftaran sembilan pemain import bagi pasukan Liga Super bermula musim depan tidak seharusnya melemahkan semangat pemain tempatan bagi memburu minit permainan.

Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O’Donnell melihat situasi itu sebagai cabaran untuk anak tempatan bagi membuktikan mereka juga memiliki kemampuan dalam merebut tempat dalam kesebelasan utama yang pasti didominasi pemain import.


“Satu perkara yang mencabar untuk memastikan pemain muda mendapat minit perlawanan dan dengan pertambahan kepada 34 perlawanan bermula musim depan, ini satu langkah yang positif.

“Dengan lima pemain import di atas padang dan satu pemain di bangku simpanan, ini adalah satu cabaran untuk pemain tempatan kita bagi meyakinkan jurulatih yang mereka juga layak untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

“Saya pun tak pasti kerana penggunaan (sembilan) import ini bergantung pada pasukan tetapi pemain tempatan kita perlu buktikan kemampuan mereka juga,” katanya.




Sebagai rekod, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menggunakan format baharu pendaftaran sembilan pemain import membabitkan semua pasukan Liga Super bermula tahun depan selaras dengan penstrukturan semula liga.

Kuota pemain import Liga Malaysia (Liga M) menimbulkan sedikit percanggahan ketika ini di mana kelab yang tiada pasukan ‘simpanan’ atau pasukan ‘feeder’ hanya mempunyai lima pemain import.

Ia berbanding kelab yang mempunyai pasukan reserve seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC) dan Selangor yang mempunyai peluang memilih daripada sembilan pemain import setiap perlawanan.





Bagi format baharu ini, walaupun semua pasukan dibenarkan mendaftar sembilan pemain import, namun MFL masih kekal dengan hanya membenarkan lima pemain import termasuk satu import Asia dan satu dari ASEAN di atas padang pada satu satu masa.

Dengan lima pemain import di atas padang, hanya tambahan seorang pemain di bangku simpanan untuk memastikan slot pemain tempatan di atas padang tidak terjejas.

Bagaimanapun, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, terpulang kepada pasukan untuk mendaftarkan sama ada sembilan atau kurang dari jumlah itu mengikut kemampuan kewangan mereka.