Pengadil tiada niat sepak Fazly

KUALA LUMPUR: Penelitian dan siasatan Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merumuskan bahawa pengadil, Suhaizi Shukri tiada sebarang niat menyepak pemain Selangor FC, Fazly Mazlan.

Insiden yang berlaku ketika aksi suku akhir Piala FA antara Sabah dan Selangor di Stadium Likas, Sabtu itu hanyalah tindak balas spontan daripada pengadil berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pengadil berkenaan sudah memohon maaf kepada FAM, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Jawatankuasa Pengadil FAM dan juga peminat bola sepak tanah air atas kejadian yang tidak disengajakan itu.

“Pada minit ke-45, pemain dari Selangor FC iaitu Fazly Mazlan dilayangkan kad kuning kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dengan kesalahan mengganggu atau menggagalkan serangan yang baik pihak lawan iaitu Sabah FC.



“Seterusnya pemain berkenaan bergerak ke arah pengadil perlawanan dengan melakukan bantahan, seterusnya memijak kaki pengadil.

“Ini membuatkan pengadil berkenaan tidak dapat menahan kesakitannya, lantas secara spontan mengangkat kaki yang kebetulan ditujukan ke arah kaki pemain Selangor FC itu.

“Bagaimanapun, pergerakan kaki pengadil tidak berkesudahan dengan sebarang sentuhan terhadap pemain terbabit,” katanya.

Penjelasan Mohd Saifuddin itu merujuk kepada keterangan yang dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.





Mohd Saifuddin turut memaklumkan bahawa pengadil berkenaan menyatakan bahawa tiada sebarang sentuhan walaupun laporan dari segi foto dan video yang tular diambil dari sudut yang memberi gambaran seolah-olah dia menyepak pemain terbabit.

“Pengadil perlawanan juga menegaskan bahawa beliau tidak mengenakan sebarang hukuman lanjut, sebagai contoh memberi kad kuning kedua kepada pemain berkenaan kerana memijak kaki pengadil, adalah disebabkan beliau menganggap tindakan pemain memijak kaki pengadil adalah tidak disengajakan.

“Pada saat dan ketika itu, pengadil perlawanan beranggapan bahawa kad kuning yang dilayangkan disebabkan kesalahan asal sudah memadai,” katanya.

Selain itu, Mohd Saifuddin menjelaskan bahawa Suhaizi, 43, adalah pengadil yang cukup berpengalaman dengan bergelar Pengadil FIFA sejak tahun 2011 dan sebelum ini tidak pernah dikenakan sebarang tindakan disiplin atau melakukan kesilapan besar dalam mengendalikan perlawanan sama ada di peringkat domestik atau di pentas antarabangsa.




Bagaimanapun, katanya, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM tetap memberikan amaran keras kepada Suhaizi supaya tidak mengulangi sebarang tindakan sedemikian.

“Beliau (Suhaizi) mengambil iktibar atas perkara ini dan berjanji supaya lebih berhati-hati terhadap sebarang kejadian tidak diingini.

“Tapi secara keseluruhan, beliau mengendalikan perlawanan Sabah FC dan Selangor FC dengan cukup baik dan kita tidak terima sebarang aduan atau bantahan daripada kedua-dua pasukan mengenai prestasi pengadil berkenaan,” katanya.