Kalendar Liga M ikut format liga Eropah

Kuala Lumpur: Selepas melakukan perubahan kepada sistem piramid Liga Malaysia (Liga M) termasuk menambah bilangan daripada 12 kepada 18 pasukan dalam saingan utama mulai musim depan, dijangka satu lagi perubahan bakal berlaku dengan menyaksikan perjalanan kalendar Liga M turut berubah.

Saingan tempatan dari Februari hingga November setiap musim kemungkinan diubah mengikut kalendar saingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang menyaksikan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC di bulan Disember.


Ini bermakna, kalendar Liga M kemungkinan mengikut format liga di Eropah yang memulakan musim baharu dari Ogos hingga Mei setiap musim.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, perkara itu masih di peringkat kajian dan ia memerlukan masa sekurang-kurangnya dua ke tiga tahun sebelum perubahan itu boleh dilaksanakan.

“Kita akan terus melakukan perbincangan lanjut dengan AFC bagi mendapatkan nasihat dan panduan…masalah besar kita adalah kalendar musim liga berjalan dari Januari hingga Disember, di mana kita mula saingan pada Februari hingga November, dan sekarang pula kita kena habiskan pada Disember kerana ACL dan Piala AFC masih bermain pada Disember.





“Tambahan lagi tempoh aksi peringkat kumpulan ACL berlangsung ‘back half the year’. Disebabkan ini, kita tak boleh nak agak bila Piala AFF akan diadakan, di mana biasanya ia pada hujung tahun. Tapi kalau kalendar AFC habis pada bulan Disember, itu bermakna kalendar AFF (Piala AFF) akan mula pada Januari dan bila pula Piala AFF akan habis?.

“Jadi bila pula pasukan akan berehat dan menjalani pramusim, dan bila pula kita (Liga Malaysia) nak mula. Ini adalah rantaian yang akan beri kesan bukan saja dalam pertandingan bawah AFC tapi kita juga, persoalannya adakah kita perlu menukar kalendar musim kita?.

“Perlukah kita menukarnya untuk memastikan pasukan kita mampu beraksi dalam kalendar AFC. Jadi kita kena cari mekanisme baharu untuk menyokong semua kelab kita yang beraksi di peringkat AFC, di mana kalendar liga kita perlu menyokong kalendar AFC, kelayakan Fifa, kelayakan AFC, Sukan Sea dan Piala AFF agar kita boleh mulakan kembali liga kita dengan perubahan kalendar,” katanya.





Sebelum ini, MFL mengumumkan perubahan Liga M pada musim 2023 dengan menyaksikan penambahan pasukan dalam Liga Super daripada 12 kepada 18 pasukan dan saingan Liga Perdana dimansuhkan buat sementara waktu.

Malah, bilangan tonggak import juga ditambah kepada sembilan pemain boleh didaftarkan oleh pasukan. Namun kuota penggunaan pemain pada hari perlawanan masih kekal iaitu 3+1 (Asia)+1 (Asean) dengan tambahan seorang pemain di bangku simpanan.