Selesaikan masalah transisi pemain remaja kepada senior

Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Peter de Roo ternyata tertarik dengan perubahan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, terutama membabitkan aksi Liga Simpanan dan Liga Bawah 17 tahun yang bakal menyelesaikan masalah transisi pemain remaja kepada senior.

Menurutnya, ketika beliau berada dalam badan induk itu, antara masalah utama dalam sistem bola sepak Malaysia ialah transisi pemain muda berbakat sebelum menjadi profesional.


“Saya berharap saingan Liga Simpanan ini akan membantu mengatasi jurang ini dan membuat peralihan lebih baik daripada pemain remaja berbakat sebelum menjadi pemain senior profesional,” katanya ketika dihubungi.

Ujarnya, berdasarkan kajian membabitkan 90 negara di seluruh dunia, Malaysia berada di kedudukan ke-86 membabitkan minit permainan yang terdapat kepada pemain berusia 21 tahun atau pun lebih muda.

“Purata umur pemain beraksi di Liga M ialah 28 tahun. Jadi jelaslah pemain muda berbakat Malaysia mempunyai cukup minit permainan. Peluang seterusnya yang ada adalah bermain bersama pasukan ‘feeder’ di Liga Perdana.

“Malaysia cukup bernasib baik dengan memiliki lima pasukan ‘feeder’ di Liga Perdana. Satu-satunya negara di dunia yang mempunyai pasukan ‘feeder’ di peringkat divisyen dua tanpa sebarang peraturan dan syarat,” kata De Roo.





Tambahnya, apa yang berlaku ialah majoriti pemain muda berbakat akan bermain di Piala Presiden sedangkan saingan di peringkat berkenaan tidak cukup baik bagi merapatkan jurang dengan tahap pemain senior profesional.

Menurutnya, sebelum ini, dia mencadangkan untuk menggantikan saingan Bawah 21 tahun dengan liga lebih baik iaitu Liga Simpanan.

“Ketika perkara ini dibincangkan di FAM, saya meminta Datuk Ong Kim Swee (bekas Pengarah Teknikal FAM) untuk melihat beberapa peraturan lebih berkesan untuk Liga M.





“Ia membabitkan pemain yang melebihi usia, jumlah pemain Bawah 23 tahun dalam kesebelasan utama,” kata De Roo yang juga bekas jurulatih dan pengarah teknikal kelab Belanda, SC Cambuur.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perubahan Liga M pada musim 2023 dengan menyaksikan penambahan pasukan dalam Liga Super daripada 12 kepada 18 pasukan dan saingan Liga Perdana dimansuhkan buat sementara waktu.