Thailand panggil Kyrgyzstan ganti tempat Vietnam di King’s Cup 2022

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) tidak menjemput pasukan serantau, Indonesia untuk menjadi pengganti kekosongan yang ditinggalkan oleh Vietnam pada aksi King’s Cup tahun ini.

Sebaliknya, mereka telah membawa pasukan di ranking ke-95 dunia, Kyrgyzstan sebagai salah sebuah pasukan yang akan bertanding.

Ini akan memberikan saingan yang hebat kepada pasukan kebangsaan Malaysia tatkala Kyrgyzstan merupakan salah sebuah pasukan yang berada di tangga ke-20 teratas di Asia.

Antara pemain yang perlu diberi perhatian adalah, penjaring terbanyak pasukan, Mirlan Murzayev yang kini mengumpul sebanyak 15 jaringan daripada 50 aksi bersama skuad negara tersebut.




Fizikal pemain daripada pasukan tersebut akan menjadi salah satu halangan utama yang perlu dihadapi oleh skuad kendalian Kim Pan-gon pada saingan King’s Cup yang dijadual bermula pada 22 September kelak.

Tambahan pula, pasukan dari Asia Tengah tersebut merupakan antara 24 pasukan yang turut melayakkan diri ke saingan Piala Asia tahun hadapan.

Ini akan menjadikan saingan King’s Cup tahun ini lebih menarik kerana tiga pasukan yang bertanding termasuk tuan rumah Thailand adalah negara yang akan bersaing di kejohanan Piala Asia 2023.

Ini dilihat akan menjadi medan ujian awal untuk menguji kehebatan ketiga-tiga negara ini menjelang aksi sebenar pada tahun depan.

Pada masa yang sama, sebuah lagi pasukan yang dijangka memberi saingan yang hebat adalah, Bolivia yang datang dari Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL).

Pasukan ini berada di ranking ke-81 dunia, jauh meninggalkan pasukan Malaysia yang kini berada di kedudukan 147 dunia dengan 1057.59 mata.

Namun begitu, skuad negara boleh memanfaatkan peluang beraksi dengan pasukan yang hebat sebagai persiapan terbaik sebelum melangkah ke kejohanan yang lebih besar.

Kehadiran pemain berkualiti seperti bekas penyerang Flamengo FC, Marcelo Moreno mampu menguji kekebalan barisan pertahanan Harimau Malaya.





Pemain ini pernah bermain di kelab-kelab Eropah seperti Shakhtar Donetsk, Wigan Athletic dan Werder Bremen.

Akhir sekali, musuh serantau, Thailand yang dikhabarkan akan menggunakan khidmat pemain utama pada kejohanan ini.

Pan-gon perlu menggunakan pentas ini sebagai aksi pemanas badan untuk mendapatkan skuad terbaik yang akan menggalas cabaran negara pada kejohanan Piala AFF 2022 yang akan berlangsung pada Disember nanti.

Perlawanan awal menentang pasukan Gajah Perang itu dapat membantu barisan kejurulatihan negara untuk mengenal pasti kelemahan pasukan yang perlu diperbaiki.

Ini bagi memastikan pasukan negara dapat memberikan saingan yang hebat pada aksi Piala AFF menentang pasukan utama Asia Tenggara seperti Vietnam dan Indonesia yang semakin mendominasi.




Thailand merupakan juara bertahan bagi saingan Piala AFF selepas mereka mendominasi kejohanan tersebut pada tahun 2020 apabila menewaskan musuh tradisi, Indonesia di perlawanan akhir.

Kehadiran pemain muda seperti Thanawat Suengchitthawon dan Jonathan Khemdee yang kini beraksi bersama kelab Eropah mampu menambahkan kehebatan pasukan tersebut.

Kali terakhir King’s Cup dianjurkan adalah pada tahun 2019 dan telah dimenangi oleh pasukan Curacao dari Amerika Utara. – Harimaumalaya