‘Senarai bocor’ 9 pemain ke Sabah FC, bintang kelab gergasi jadi pilihan

KHABAR angin berkenaan perpindahan pemain ke Sabah FC semakin hangat menjadi bualan peminat bola sepak tempatan.

Sebelum ini, ketua jurulatih pasukan itu, Datuk Ong Kim Swee dikhabarkan mahu membawa lebih ramai lagi pemain kebangsaan ke dalam pasukan Sabah FC musim depan.

Di media sosial, peminat bola sepak mula berkongsi beberapa nama pemain yang dikhabarkan akan menyertai skuad Sang Badak bagi memperkuatkan skuad itu sebagai antara pencabar utama Liga Super.



Malah satu senarai mengandungi nama sembilan pemain termasuk beberapa bintang kelab gergasi Liga Super yang akan ke Sabah ‘bocor’ hingga menjadi bualan ramai.

Syafiq antara nama yang disebut dalam senarai ‘bocor’ berpindah ke Sabah FC — Facebook/JOHORSouthernTigers

Antara yang menjadi perhatian ialah dua pemain JDT ketika ini iaitu Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Tidak ketinggalan nama penyerang Harimau Selatan iaitu Syafiq Ahmad.

Syafiq sebelum ini pernah dipinjamkan Kedah Darul Aman FC sejak awal musim ini sebagai pemain pinjaman.

Syafiq menyertai JDT dari Kedah sejak 2018 dan kepulangannya secara pinjaman ke skuad Kenari dilihat berjaya memberi impak positif kepada pasukan itu musim ini.

Ketiga-tiga pemain JDT tersebut mungkin akan ke Sabah kerana mereka kekurangan minit permainan di JDT.

Pemerhati sukan, Dr Pekan Ramli turut berpendapat, jika Akhyar dan Safawi ke Sabah, mereka akan menjadi aset terbesar buat pasukan Sabah.

Memetik laporan Majoriti, beliau berkata, jika dua pemain itu ke Sabah musim depan, ia memberi lebih banyak pilihan kepada Kim Swee dan pasti memperkuatkan lagi pasukan Sabah nanti.





“Mereka ini sangat berpengalaman dan pasti aset Sabah akan bertambah dan JDT pasti tercabar nanti jika dua pemain kembali mendapat form terbaik mereka. Ingat, Safawi dan Akhyar bukan calang-calang pemain,” katanya.

Selain tiga nama itu, beberapa pemain kebangsaan turut tercatat dalam ‘senarai bocor’ berkenaan yang memasukkan Darren Lok, Faisal Halim, Brendan Gan, Azam Azih dan Mukhairi Ajmal.

Brendan dan Mukhairi merupakan pemain Selangor FC ketika ini manakala Darren Lok bermain dengan skuad PJ City, Faisal Halim (Terengganu FC) dan Azam Azih (Sri Pahang FC).

Untuk makluman, kontrak Faisal Halim bersama Terengganu FC tamat pada hujung tahun ini.

Namun begitu, pihak pengurusan Terengganu telah menyatakan minat mereka untuk memberi kontrak lanjutan kepada pemain yang diberi jolokan nama Mickey itu kerana mahu dia terus beraksi bersama skuad Sang Penyu pada musim depan.





Berlainan pula kisahnya dengan Azam Azih, pemain Sri Pahang FC itu pernah dikhabarkan berhijrah ke JDT sebelum ini.

Turut dipetik berada dalam senarai bocor itu ialah Sony Norde, pemain tengah menyerang Melaka United FC (MUFC) yang beraksi cemerlang dengan skuad Hang Tuah pada musim ini.

Sony sebelum ini pernah meluahkan hasrat untuk meninggalkan MUFC kerana tidak gembira dengan pasukan itu.

Penyerang dari Haiti itu mendakwa dia dan keluarganya tidak gembira bersama kelab berkenaan, sekali gus menjadikannya tiada pilihan selain daripada angkat kaki. — Majoriti