TMJ dedah gaji Arif Aiman

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa gaji Arif Aiman Hanapi pada musim lalu hanya RM11,000.

Pendedahan itu dibuat ketika Tunku Ismail menjelaskan bagaimana beliau menguruskan JDT dan menetapkan DNA buat Harimau Selatan hingga menjadi kelab yang digeruni ketika ini.



Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Tunku Ismail berkata, semua keputusan kelab dibuat oleh beliau dan beliau juga bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku dalam JDT.

Katanya, dari aspek menandatangani pemain, beliau dan jurulatih akan menilai setiap pemain mana yang harus ditandatangani berdasarkan pemain berkenaan boleh mengikuti falsafah atau gaya permainan yang ditetapkan kelab.

“Pengurusan, ini adalah benda paling mustahak dalam kelab bola sepak. Tenaga di bilik persalinan. Buatlah apa pun jika 30 pemain tak nak berlari atau bersungguh-sungguh, kita tidak akan dapat keputusan yang baik.




“Saya kenal setiap pemain dari akademi hingga ke pasukan utama. Saya juga yang membuat keputusan berkenaan kontrak pemain.

“Tahukah anda berapa gaji Arif Aiman tahun lepas? 11 ribu sahaja. Tetapi main bersungguh-sungguh. Kenapa? kerana macam mana saya jaga setiap pemain.

Arif Aiman mempamerkan aksi cemerlang musim lalu yang menyaksikan dia dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) selain turut memenangi anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Selain itu, Tunku Ismail menegaskan bahawa mana-mana individu yang ingin maju dalam menguruskan kelab bola sepak perlu memiliki dua perkara iaitu pengetahuan dan sikap kemanusiaan.




“Saya berhubung dengan jurulatih dan pihak pengurusan setiap hari. Jurulatih akan kongsi strategi dan pemilihan pemain. Saya pula akan minta macam mana saya nak pasukan main dan pemain mana saya rasa sesuai.

“Jurulatih akan buat persiapan dalam latihan mengikut permintaan saya atau apa saya inginkan. Alhamdulillah di JDT kita boleh lihat hasilnya.

“Pihak pengurusan atau jurulatih dapat arahan daripada saya dan jika apa-apa berlaku, baik atau pun buruk saya bertanggungjawab,” jelasnya. – BH