AFC Cup: Kedah kecundang berdepan 9 pemain

Kuala Lumpur: Perjalanan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam kempen Piala AFC terhenti di peringkat separuh akhir Zon Asean selepas tewas 1-2 kepada PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Bali, Indonesia, malam ini.

Kekalahan itu sememangnya perit buat wakil negara itu yang meletakkan sasaran untuk mara ke final buat pertama kali.


Bagaimanapun harapan itu tidak kesampaian biarpun mempamerkan aksi bertenaga di peringkat kumpulan pada Jun lalu dengan muncul juara Kumpulan G.

Dalam aksi itu, kelonggaran benteng pertahanan Kedah cukup terserlah dan ia dapat dilihat sepanjang 45 minit pertama apabila tuan rumah memiliki banyak peluang untuk meledak gol.

Percubaan pertama PSM Makassar hadir seawal minit ketiga menerusi percubaan Everton namun tiang menjadi penghalang.

Everton sekali lagi berpeluang meletakkan pasukannya di depan, namun tiang sekali lagi menyelamatkan gawang Kedah.




Gol yang dicari menyusul di minit ke-31 hasil tolakan mudah Yakob Sayuri yang menerima hantaran Rizky Eka Pratama untuk meletakkan juara Piala Indonesia 2019 itu di hadapan.

Tidak banyak perubahan berlaku di babak kedua dengan anak buah Fernando Tavares terus mengukuhkan kedudukan untuk gol kedua hasil tandukan Yuran Fernandes di minit ke-54.

PSM Makassar terpaksa beraksi 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Fernandes dilayangkan kad kuning kedua di minit ke-60.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak hampir meraih gol pertama menerusi percubaan Fayadh Zulkifli, tetapi rembatan leretnya di minit ke-66 sedikit tersasar.





Pemain gantian, Al-Hafiz Harun hampir mencetak gol di minit ke-80 namun rembatan kaki kirinya dari luar kotak penalti sekadar singgah di tiang gol ketika Reza Arya sudah tertewas.

Gol yang dicari-cari Kedah akhirnya menjelma di minit ke-85 hasil ledakan deras Fayadh dan gol itu nyata membangkitkan semula semangat rakan sepasukannya.

Begitupun gol penyamaan yang diburu tidak muncul biarpun tuan rumah kehilangan seorang lagi pemain di minit ke-96 apabila pengadil memberi masa tambahan selama tujuh minit.